Tempatan
MINI Malaysia Memperkenalkan John Cooper Works 3 Door dan John Cooper Works Countryman Baharu
MINI Malaysia memperkenalkan John Cooper Works 3 Door dan John Cooper Works Countryman yang terbaharu untuk pasaran tempatan.
MINI John Cooper Works 3 Door itu hadir dengan penampilan lebih moden terutama gril radiator dan kini lebih besar dan berbentuk heksagon. Turut naik taraf penampilannya ialah lampu hadapan LED Adaptif (Adaptive LED), ia dilitupi dengan perumah dalaman baharu warna hitam dan rekaan itu juga boleh dilihat pada lampu belakang.
Sesuai dengan identiti sukan permotorannya, MINI John Cooper Works 3 Door dipadankan corong udara penyejukan untuk memastikan sistem pemanduan dan brek berada pada tahap suhu yang optimum. Malah pembaharuan reka bentuk yang dibuat juga membolehkan kedua-dua paip ekzos kenderaan ini dibingkaikan dengan sempurna.
Dari hadapan, padanan teknologi pencahayaan yang berkualiti tinggi kini dapat dilihat dengan lebih jelas, manakala perwatakan MINI John Cooper Works Countryman baharu diserlahkan melalui rekaan lampu khas yang bertemakan Union Jack.
Trim eksterior Piano Black menghiasi MINI John Cooper Works 3 Door dan MINI John Cooper Works Countryman, selain dilengkapi hendal pintu, logo MINI, serta logo warna hitam berglos tinggi. Lampu hadapan LED Adaptif yang bersertakan distribusi cahaya berciri boleh ubah dan fungsi matriks bagi lampu tinggi juga ditawarkan sebagai standard bagi kedua-dua model.
Dari segi prestasinya, MINI John Cooper Works 3 Door dikuasakan enjin MINI TwinPower Turbo 2.0 liter 4 silinder, dibangunkan menerusi kepakaran John Cooper Works dalam bidang perlumbaan kereta. Turut digandingkan dengan Transmisi Steptronic Sport 8 Kelajuan.
Ia mampu menjana 231hp dengan tork bernilai 320 Nm, serta berupaya memecut dari kelajuan 0 hingga 100 km/j hanya dalam masa 6.1 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 246 km/j.
Menariknya, sistem breknya dibangunkan melalui kolaborasi dengan Brembo yang mana menggunakan angkup brek dengan empat piston berserta cakera yang diventilasi, selain warna merah dengan mempamerkan logo John Cooper Works.
Sementara itu, MINI John Cooper Works Countryman menggunakan enjin dengan kuasa tertinggi yang pernah dimuatkan di dalam MINI, iaitu MINI TwinPower Turbo 2.0 liter 4 silinder serta dengan sistem penyejukan khas.
Ia membekalkan output berjumlah 306hp dengan tork bertinggi 450 Nm yang dipadankan sistem pacuan semua roda ‘ALL4’ yang hadir dengan fungsi kawalan pintar berserta Transmisi Steptronic Sport 8 Kelajuan.
MINI John Cooper Works Countryman baharu mampu memecut dari kelajuan 0 hingga 100 km/j hanya dalam masa 5.1 saat. Ia juga boleh mencatat kelajuan tertinggi mencecah 250 km/j.
MINI John Cooper Works 3 Door dan MINI John Cooper Works Countryman baharu hadir dengan warna Rebel Green, Midnight Black, serta White Silver. Semua tawaran warna ini juga dipadankan dengan bumbung dalam warna merah yang menawan.
Model-model MINI yang terbaharu ini disediakan di semua pusat pengedaran MINI yang bertauliah di seluruh negara mulai 1 Julai 2021.
Bagaimanapun, sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang terkini, rangkaian pusat wakil pengedar akan ditutup dan pelanggan digalakkan untuk membuat kunjungan dalam talian bagi melihat model-model MINI terbaharu melalui www.mini.my.
Model-model MINI terbaharu ini ditawarkan dengan Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 4 Tahun oleh MINI berserta Servis Berjadual Percuma. Harga jualan yang disyorkan dengan Pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (atas jalan, tanpa insurans) ialah:
- MINI John Cooper Works 3 Door Baharu - RM 311,259.49
- MINI John Cooper Works Countryman Baharu - RM 383,463.07