Modifikasi
Mitsubishi Tayang Barisan Model di Tokyo Auto Salon 2020
Mitsubishi mengumumkan barisan kenderaan yang akan dipamerkan di Tokyo Auto Salon 2020 bermula 10 hingga 12 Januari nanti.
Mengetuai barisan Mitsubishi pada pameran itu adalah Delica D:5 yang akan tampil dalam dua versi menarik.
Yang pertama merupakan Delica D:5 All Blacks yang digunakan sebagai kenderaan sokongan pasukan ragbi New Zealand ketika Piala Dunia Ragbi 2019 yang berlangsung di Tokyo pada September lalu.
Seperti yang anda boleh lihat, ia tampil ‘rugged’ dengan warna hitam dengan padanan krom pada jeriji, bampar dan cermin sisi, serta logo daun pakis yang juga simbol pasukan ragbi negara itu. Model konsep didatangkan dengan rim Advan Racing RZII yang dibalut tayar Yokohama Geolandar X-AT G016.
Delica D:5 kedua merupakan hasil tangan pengarah dan produser TV terkenal dari Jepun, Terry Ito.
Menampilkan konsep retro, van berwarna hijau muda ini hadir dengan jeriji rekaan klasik, lampu kabus berbentuk bulat dan rim MLJ Daytona SS.
Seterusnya, Mitsubishi akan mempamerkan sebuah Outlander PHEV spesifikasi NERV yang dibina khas untuk dijadikan sebagai kenderaan sokongan ketika bencana alam.
Selain boleh dijadikan sebagai sumber kuasa alternatif, SUV ini juga boleh menyediakan sambungan Internet dengan menggunakan antena satelit KYUMETA u7.
Sementara itu, Eclipse Cross Weekend Explorer pula membolehkan pemandu menggunakan aplikasi khas untuk mengakses maklumat seperti kemas kini cuaca.
Menariknya, pemandu juga boleh melaraskan ketinggian suspensi menggunakan aplikasi yang sama. Jentera ini dilengkapi dengan rim Rays Team Daytona M9 dengan tayar Toyo Tires Open Country R/T.
Satu lagi kenderaan yang akan dibawa adalah eK Cross Wild Beast Concept. Walaupun bersaiz kecil, model kei-car ini sedia untuk aktiviti lasak dengan pacuan 4X4, tayar ‘all terrain’ dan rak bumbung. Skema warna kuning-hitam pula menunjukkan sisi ceria model tersebut.