Antarabangsa
Modenas Elegan 250 Kini Dilengkapi Ciri ABS, Harga Bermula RM15,315
Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), melancarkan skuter maxi, Modenas Elegan 250 versi ABS yang dijual dengan harga RM15,315.
Elegan 250 ABS baru ini menerima sistem ABS dua “channel” iaitu di bahagian depan dan belakang, yang mengelakkan roda daripada terkunci serta memberikan kuasa berhenti yang unggul dalam semua keadaan cuaca.
Ia juga dilengkapi dengan lampu depan projektor yang lebih bergaya dengan lampu nyalaan siang LED yang membantu penglihatan bagi penunggang dan pengguna jalan raya lain.
Lampu belakang berbentuk ‘X’ jenis LED pula memberikan penglihatan yang lebih terang dan mudah dilihat oleh pengguna jalan raya lain terutama menunggang pada waktu malam.
Apa yang pasti, Elegen 250 ABS ini direka untuk keselesaan dan praktikaliti. Skuter maxi berkenaan menawarkan ruang simpanan bawah tempat duduk yang cukup besar dan boleh memuatkan dua helmet.
Tempat duduknya pula memberikan keselesaan tambahan bagi penunggang dan pembonceng, sementara tempat letak kaki direka secara dinamik untuk kedudukan kaki yang lebih fleksibel dan selesa.
Selain peningkatan prestasi dan gaya, Modenas Elegan 250 ABS juga menawarkan perjalanan yang lebih selamat dan selesa dengan kerangka tinggi serta lengan ayun belakang yang memberi tunggangan yang lebih stabil.
Modenas Elegan 250 ABS juga menawarkan meter kelajuan digital pelbagai fungsi yang memaparkan beberapa maklumat tambahan, seperti, meter perjalanan, jam digital, penunjuk voltan bateri dan terutamanya peringatan penukaran minyak. Di mana beberapa ciri ini tidak didapati pada model-model yang harganya jauh lebih tinggi di pasaran.
Satu lagi ciri yang sangat berguna ialah soket pengecas USB yang dipasang secara strategik di kotak simpan pada papan pemuka, yang membolehkan penunggang mengecas telefon pintar mereka ketika sedang berada di atas jalan atau pada bila-bila masa.
Prestasinya pula, Modenas Elegan 250 versi ABS ini dilengkapi enjin suntikan bahan api, 4 lejang dan silinder tunggal, SOHC 250cc yang menghasilkan kuasa maksimum 16.5 kW pada 7000 rpm dan tork 22.4 Nm @ 6500 rpm.
Ia mempunyai sistem penyejukan cecair untuk meningkatkan prestasi penyejukan serta memberikan perlindungan dan ketahanan pada enjin. Warnanya pula, Modenas Elegan 250 ABS hadir dalam dua warna bergaya – Matte Satin Merah dan Matte Satin Hitam; dan boleh didapati di semua pengedar sah MODENAS bermula November 2020.