Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Antarabangsa

Motosikal Elektrik Verge TS Tawar Tork Setinggi 1,000Nm!

Erywan 11/06/2020 | 02:38 MYT
Motosikal ini pernah menggunakan nama RMK E2 dan ia adalah ciptaan syarikat Verge Motorcycles dari Finland. Sekarang, RMK E2 dinamakan semula sebagai Verge TS dan tempahan membelinya sudah dibuka.
Dunia mengenali RMK E2 selepas gambar rekaan komputer disiarkan pada musim panas 2018. Selepas itu, satu model prototaip dibawa ke Pameran Motosikal di Helsinki pada Februari 2019.
Verge Motorcycles membawa RMK E2 untuk menjalankan beberapa ujian ekstensif di Litar Lumba Alastaro dan pada musim luruh 2019, motosikal ini muncul di Pameran Motor Milan (EICMA).
Pada bulan ini, syarikat pengeluarnya memberi kata putus untuk mula menghasilkan motosikal elektrik ini dan dipanggil Verge TS. Bukan lagi RMK E2. Verge Motorcycles juga berkongsi beberapa gambar motosikal itu serta maklumat teknikal tambahan.
Secara asasnya, reka bentuk motosikal ini tidak banyak berubah berbanding gambar asal. Imej motosikal ini masih bergaya klasik dengan casis jejambat (bridge frame), fork konvensional USD (upside-down) dan monoshock Öhlins dan tayar Pirelli.
Sistem brek depan adalah jenis cakera berkembar. Di belakang, rim tanpa hab menjadi tarikan utama.
RMK E2 pada awalnya menggunakan motor elektrik 50kW yang boleh jana tork maksimum 320Nm. Namun, syarikat mengambil keputusan lain untuk memastikan Verge TS lebih berkuasa dengan menggunakan motor 80kW (107hp).
Tork maksimumnya ialah 1,000Nm. Masa pecutan 0 hingga 100 kilometer (km) ialah kurang daripada empat saat.
Motor elektrik ini dipasang dalam rim belakang dan juga berfungsi sebagai sistem brek belakang. Kelajuan maksimum dihadkan kepada 180km sejam.
Setiap cas penuh bateri membolehkan motosikal ini ditunggang sejauh 200km di lebuh raya dan 300km di bandar. Masa mengecas penuh ialah empat jam dan pengecasan pantas cuma memerlukan antara 45 hingga 50 minit.
Harga motosikal ini cuma 24,990 euro (RM117,487) dan tempahan awal Verge TS boleh dibuat menerusi laman web syarikat dengan bayaran 2,000 euro (RM9,402). Pengeluaran akan bermula pada bulan ini.
;