Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Antarabangsa

Mugen Tawar Kit Badan Honda Civic Hatchback, Cantik Sangat!

Erywan 25/08/2020 | 01:54 MYT

Bagi pemilik Honda yang ingin meningkatkan penampilan jentera mereka, tiada nama lain yang lebih berwibawa selain Mugen. Boleh dikatakan hampir semua model yang dikeluarkan oleh Honda mempunyai kit talaan Mugen masing-masing, termasuklah Civic hatchback generasi ke-10.

Bagi model terbabit, syarikat talaan yang berpangkalan di Asaka itu menawarkan kit badan aerodinamik serta beberapa penambahbaikan prestasi.
Antara komponen yang ditawarkan adalah jeriji gentian karbon lengkap dengan lencana Mugen, diffuser belakang serta ‘under spoiler’ untuk bampar hadapan dan belakang serta skirt sisi.
Jika itu tidak mencukupi, katalog Mugen turut menyenaraikan spoiler bumbung, cermin sisi gentian karbon, pemegang nombor plat gentian karbon, pelindung pemegang pintu serta lampu LED belakang dengan grafik yang lebih menarik.
Bagi melengkapkan imej garang jentera mereka, pelanggan boleh mendapatkan rim aluminium berukuran 19 inci yang boleh didapati dalam dua rekaan berbeza iaitu MDA atau MDC. Turut ditawarkan adalah set nat khas dengan kemasan perak atau hitam.
Ruang kabin juga boleh dihiasi dengan aksesori Mugen seperti stereng sport, tempat duduk ‘bucket’, butang penghidup enjin, pelindung panel pintu, ‘scuff plate’ dan karpet.
Dari segi prestasi, Mugen menawarkan sistem ekzos sport yang diperbuat daripada keluli tahan karat. Ia didatangkan muncung berbentuk heksagon yang diinspirasikan oleh nozel ekzos jet pejuang.
Selain itu, terdapat juga pad brek Type S yang boleh beroperasi pada suhu sehingga 500 darjah Celsius, cakera brek berukuran 282mm, set kabel brek micromesh serta ‘short shifter’ untuk penukaran gear yang lebih cepat.

;