Nampak Dah Macam Kereta Rali Proton Iriz Active Ini! Varian Baharu Bergaya SUV, Harga Bermula RM54,000
PROTON baru sahaja memperkenalkan Proton Iriz dan Persona 2022 baharu mereka. Bagaimanapun yang lebih mengujakan dengan kehadiran varian baharu menerusi model Iriz iaitu Active yang menerapkan sporty dan bergaya SUV. Cuma bagi kami, ia sekali imbas hampir macam kereta rali, memang menarik!
Perbezaanya dengan varian biasa, bahagian luaran diberi bampar berlainan dengan sentuhan baru pada keseluruhan bentuk bahagian badan dari bampar hadapan sehingga ke bampar belakang.
Reka bentuk juga dilengkapi dengan roda aloi bersaiz 16 inci, bumbung hitam dan juga lampu gabungan belakang yang baru.
Ia juga ditampilkan dengan pedal sukan aluminium yang menambahkan lagi ciri sukan secara halus.
Dari segi rangkaian kuasanya, ia masih menggunakan enjin 1.6 litre yang menyalurkan 109 PS pada 5,750rpm dan tork setinggi 150Nm pada 4,000 rpm.