Antarabangsa

Nissan Juke Generasi Kedua Hadir Edisi Istimewa, Ia Adalah Versi Enigma

Erywan
11/01/2021
03:22 MYT
Sponsor Banner
Nissan Juke Generasi Kedua Hadir Edisi Istimewa, Ia Adalah Versi Enigma
Baru setahun berada di pasaran, Nissan Juke generasi kedua kini mempunyai edisi istimewa yang dikenali sebagai Juke Enigma. Selain penampilan lebih garang, model ini juga dilengkapi dengan ciri kawalan suara Amazon Alexa.
Juke Enigma ternyata kelihatan lebih menarik berbanding versi standard dengan warna Gun Metallic Grey yang dipadankan dengan rim aloi Akari berwarna hitam berukuran 19 inci. Jika diperhatikan dengan lebih teliti, bumbung dan cermin sisi crossover kompak ini juga dihiasi dengan corak unik, manakala tulisan ‘Enigma’ terpampang pada tiang C.
Selain Gun Metallic Grey, model ini juga boleh didapati dalam dua warna lain iaitu Storm White dengan bumbung hitam atau warna hitam sepenuhnya untuk mereka yang tidak mahu terlalu menonjol.
Kecuali plat nama ‘Enigma’ yang terletak di konsol tengah, ruang dalaman Juke Enigma tidak diberi sebarang kemas kini visual. Bagaimanapun, terdapat satu ciri baharu yang disertakan bagi memudahkan pemilik iaitu Amazon Alexa.
Dengan ciri ini, pemilik kini boleh mengawal beberapa fungsi yang terdapat pada Juke secara kawalan jauh dengan menggunakan aplikasi Amazon pada telefon pintar atau peranti Alexa di rumah. Antara fungsi yang dimaksudkan adalah menghidupkan lampu atau menghantar lokasi ke sistem navigasi Juke.
Bukan itu sahaja, Alexa juga membolehkan pemilik mengetahui baki bahan api, lokasi kenderaan di tempat letak kereta dan jika pintu sudah dikunci ataupun tidak.
Juke Enigma ditawarkan untuk pasaran Eropah. Ia dikuasakan oleh enjin 1.0 liter tiga silinder dengan pengecas turbo yang menjana 117PS dan 200Nm, dengan pilihan transmisi manual enam kelajuan atau automatik dwi klac tujuh kelajuan.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar