Tempatan
Nissan Patrol NISMO, Enjin 5.6 liter V8 Salur 428hp!
Barisan model NISMO yang kini terdiri daripada GT-R dan 370Z sudah diperluaskan lagi dengan kehadiran model terbesar setakat ini iaitu Nissan Patrol. Bagaimanapun, ia hanya ditawarkan secara eksklusif untuk pasaran Timur Tengah sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-70 SUV itu.
Seperti model-model NISMO yang lain, Patrol NISMO hadir dengan penampilan yang lebih agresif menerusi penggunaan kit badan dihiasi dengan jalur merah. Gril V-motion kini mempunyai kemasan mesh sarang lebah tiga dimensi, manakala di belakang pula terdapat lampu kabus yang terletak di tengah-tengah ‘diffuser’ seperti kereta Formula 1.
Melengkapan imej baharunya adalah rim aluminium 22 inci yang didatangkan dalam kemasan dua tona. Nissan menawarkan empat pilihan warna luaran iaitu White Pearl, Black Solid, Grey Metallic dan Silver Metallic.
Di dalam, stereng diberi balutan Alcantara dan kemasan gentian karbon berwarna merah, manakala kerusi pula dibalut upholsteri berwarna merah hitam, lengkap dengan cetakan logo NISMO pada perehat kepala. Antara kelengkapan yang disertakan secara standard adalah Apple CarPlay, sistem audio Bose, pengecas wayarles serta port UBS-A dan USB-C.
Sesuai dengan saiz badannya yang besar, Patrol NISMO mempunyai ‘nadi’ berupa enjin 5.6-liter V8 yang mampu mengeluarkan 428hp, iaitu 28hp lebih tinggi berbanding versi standard. Tork pula kekal pada 560Nm. Enjin aspirasi natural itu dipadankan dengan transmisi automatik tujuh kelajuan.
Selain peningkatan kuasa, Nissan turut memberikan SUV ini penyerap hentak Bilstein yang bukan sahaja membuatkan ia kelihatan lebih sporty, malah memberikannya prestasi pengendalian yang lebih meyakinkan.
Di samping itu, Patrol NISMO turut disertakan dengan teknologi Nissan Intelligent Mobility yang merangkumi ciri-ciri bantuan pemandu seperti Intelligent Emergency Braking with Pedestrian Detection, Intelligent Forward Collision Warning, Smart Rear View Mirror dan juga High Beam Assist. Bakal memasuki pasaran bermula bulan hadapan, Patrol NISMO dijual pada harga $105,000 (RM435,380).