Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Modifikasi

Nissan R32 Skyline GT-R V-Spec II edisi 1993-Edisi yang cukup istimewa!

Erywan 10/09/2019 | 03:35 MYT

Nampaknya ada sebuah Nissan R32 Skyline GT-R V-Spec II edisi 1993 dipaparkan untuk jualan baru-baru ini.

Namun ini bukan sebarang GT-R, tetapi hanya ada 1,306 unit dihasilkan sejak model ini diperkenalkan pada 14 Februari 1994 dan R32 ini adalah model generasi ketiga.

Apa yang membuatkan kereta ini menarik perhatian peminat ialah jantung di bawah hud. Kereta ini menggunakan enjin RB26DETT Nismo Fine Spec Final Edition keluaran Omori Factory. Hanya 140 unit enjin ini daripada 200 buah dibina.

Omori Factory adalah ibu pejabat global Nismo dan terbabit dalam pembinaan kereta perlumbaan kejuaraaan Nissan. Omori Factory juga membina dan memasang enjin edisi terhad menggunakan tangan.

Enjin R32 Skyline GT-R V-Spec II ini berbeza dengan enjin standard R32 yang lain. Ia ada penambahbaikan dan semuanya dibina menggunakan tangan oleh juruteknik Nismo.

Enjin 2.6 liter enam silinder turbo berkembar ini memuntahkan dos kuasa luar biasa. Tidak cukup dengan itu, kereta ini nampaknya dinaik taraf rangkaian kuasanya.

Antara modifikasinya ialah bahagian dalaman kini ditukar menjadi Nismo N1, pam minyak lebih baik berbanding model standard RB26, tali sawat pemasaan Nismo baharu.

Pemancit bahan api daripada R35 GTR dipasang pada enjin ini untuk meningkatkan percikan petrol, gasket Nismo lebih tebal turut digunakan untuk mengelakkan kebocoran minyak. Tambahan lain ialah pek gegelung pencucuh R35 GTR dan Sensor R35 GTR MAF.

Sistem ekzos titanium penuh FGK dipasang pada kereta ini. Kotak angin standard dibuang dan digantikan dengan dua unit SARD. Kotak gear masih lima kelajuan manual dengan sistem pacuan semua roda.

Suspensinya juga ditingkatkan dengan penggunaan Ohlins Road and Track manakala brek peralatan pengilang asli V-Spect II Brembo membantu daya membrek.

Jika diamati mode R32 ini kelihatan agak bersih dan ada beberapa naik taraf luaran sudah dilaksanakan. Pertama, ada lip hadapan gentian karbon, skirt sisi, lip sport bonet Hasemi, lip belakang dan rim jenis Volk TE37 SL.

Ruang dalaman nampaknya sudah mengenakan material kulit tona hitam hasil solekan kustom dengan sulam benang merah. Sistem pendingin hawa ditingkatkan kepada R134A untuk suhu lebih nyaman. Sebelum ini, ia menggunakan R12 dan ada juga tombol gear Nismo serta stereng gentian karbon Momo Nismo.

Jika tertarik dan mahu membeli, anda perlu berhubung dengan J-Spec Auto Sports. Harga cuma AS$125,000 (anggaran RM524,000)

#Drebar #Nissan #Skyline
;