Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Antarabangsa

Novitec Pakar Dalam Tingkatkan Kuasa McLaren 620R

Erywan 19/11/2020 | 03:29 MYT

Diperkenalkan secara rasmi pada Disember tahun lalu, McLaren 620R secara asasnya adalah jentera lumba 570S GT4 yang dihasilkan untuk jalan raya. Namun, ini tidak menghalang Novitec daripada menghasilkan pakej talaan bagi menjadikan ia lebih laju dan lincah.

Tidak semua pelanggan mereka mahukan jentera yang terlalu berkuasa tinggi, oleh sebab itu Novitec menawarkan tiga peringkat talaan untuk enjin 3.8-liter twin-turbo V8 milik 620R. Peringkat tertinggi menyaksikan kuasa meningkat dari 620PS dan 620Nm kepada 711PS pada 7,400rpm dan 710Nm pada 5,250rpm.
Pencapaian ini dilakukan dengan mengintegrasikan dua modul Novitec N-Tronic ke dalam unit kawalan enjin bagi tujuan mengubah tetapan sistem suntikan bahan api, pencucuhan dan kawalan tekanan ‘boost’. Apa yang menarik, pemandu boleh menikmati peningkatan kuasa ini dengan hanya menekan butang pada panel Active Dynamic.
Dengan kotak gear SSG tujuh kelajuan yang ditugaskan untuk memacu roda belakang, 620R talaan Novitec boleh melakukan pecutan 0-100km/j dalam 2.8 saat serta memecut sehingga kelajuan maksimum 328km/j. Sebagai perbandingan, versi standard memerlukan 2.9 saat untuk mencapai kelajuan yang sama, manakala kelajuan maksimum terhad kepada 322km/j.
Walaupun prestasi pecutan tidak jauh berbeza, Novitec memastikan yang jentera talaannya mempunyai pengendalian yang lebih responsif menerusi penggunaan gegelung sport yang lebih rendah sebanyak 25mm. Menurut Novitec, komponen terbabit dikalibrasikan secara spesifik untuk digunakan bersama rim aloi tempaan Novitec MC3 berukuran 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang.
Bukan itu sahaja, syarikat talaan dari Bavaria, Jerman itu turut menawarkan sistem ekzos berprestasi tinggi bagi pelanggan yang mahukan pengalaman pemanduan yang lebih lengkap. Ia boleh didapati dalam versi keluli tahan karat atau Inconel yang digunakan dalam Formula 1.
Dari segi penampilan, pelanggan boleh mendapatkan pelbagai komponen gentian karbon seperti cermin sisi, skirt sisi atau ‘rocker panel’, kemasan bampar belakang serta skup bumbung. Ruang dalaman pula boleh dihiasi dengan kemasan Alcantara atau kulit dalam apa sahaja warna.

#McLaren
;