Tempatan

Novitec Tambah Dos Untuk Tingkat Prestasi Ferrari F8 Tributo

Erywan
05/02/2021
07:06 MYT
Sponsor Banner
Novitec Tambah Dos Untuk Tingkat Prestasi Ferrari F8 Tributo
Menaik taraf jentera berkuasa tinggi seperti Ferrari F8 Tributo bukanlah satu kerja yang mudah namun sebagai syarikat talaan yang terkemuka, Novitec menganggapnya sebagai satu cabaran yang perlu disahut. Seperti pakej-pakej yang pernah dihasilkan sebelum ini, produk terbaru ini akan menjadikan supercar Itali itu tampil lebih agresif dan pantas.
Bercakap tentang penampilan, Novitec mereka kit badan gentian karbon yang merangkumi komponen seperti ‘splitter’ hadapan, spoiler belakang, perumah cermin sisi, skirt sisi, ‘diffuser’ dan pelbagai lagi. Syarikat itu juga bekerjasama dengan Vossen bagi menghasilkan rim berukuran 21 dan 22 inci, yang sesuai dipadankan dengan sistem suspensi sport.
Selain suspensi yang lebih rendah sebanyak 35mm itu, Novitec turut menawarkan sistem ‘lift’ pada gandar hadapan bagi membolehkan pemandu melepasi bonggol atau menaiki tanjakan dengan lebih mudah.
Seperti biasa, pelanggan bebas untuk menghiasi ruang dalaman dengan pelbagai jenis bahan yang ditawarkan termasuk kulit dan Alcantara, dalam apa sahaja warna dan rekaan yang menepati citarasa masing-masing.
Dari segi prestasi pula, Novitec menawarkan beberapa pakej naik taraf untuk enjin 3.9-liter twin-turbo V8 yang menggerakkan F8 Tributo. Pakej yang paling berkuasa yang menggunakan modul pemetaan enjin N-tronic dan sistem ekzos sport akan menaikkan kuasa enjin itu dari 720hp/770Nm kepada 802hp dan 898Nm. Ini membolehkan supercar itu melakukan pecutan 0-100km/j dalam 2.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 340km/j.
Sistem ekzos terbabit boleh didapati dalam beberapa versi termasuk versi yang diperbuat daripada Inconel, iaitu sejenis aloi yang digunakan secara meluas dalam Formula One. Pelanggan juga boleh memilih untuk mendapatkan sistem pengurusan bunyi elektronik dan salutan emas 999. Apa yang paling penting, setiap versi didatangkan dengan penebat termal bagi memastikan suhu ruang enjin sentiasa berada pada tahap optimum.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024