Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Antarabangsa

Pagani Imola Berharga RM22 juta, Model Paling Eksklusif Pernah Dibina Jenama Itu

Erywan 18/02/2020 | 02:34 MYT

Dinamakan sempena sebuah litar lumba di Itali di mana ia ditala, Pagani Imola adalah antara model paling eksklusif pernah dihasilkan oleh jenama itu dengan hanya lima unit ditawarkan pada harga 5 juta Euro (RM22 juta) setiap satu.

Seperti Huayra BC Roadster, Imola turut mempunyai ‘jantung’ berupa enjin 6.0-liter V12 keluaran AMG, namun dengan output berjumlah 827hp dan 1,100Nm, ia 36hp dan 50Nm lebih berkuasa berbanding model berkenaan.
Kuasa disalurkan ke gandar belakang menerusi transmisi AMT X-trac tujuh kelajuan yang dipadankan dengan ‘differential’ elektro-mekanikal. Pagani tidak mendedahkan angka prestasi model terbarunya ini namun ia sudah pasti cukup untuk menakutkan sesiapa sahaja yang memandunya.
Selain dari enjin yang lebih berkuasa, Imola turut menampilkan aspek aerodinamik daripada Huayra yang telah ditambah baik. Sebagai contoh, empat ‘winglet’ yang terdapat pada badan model ini boleh bertindak balas secara dinamik mengikut cara pemanduan. Ia juga dilihat mempunyai skup udara bumbung.
Geometri sistem suspensi turut dipertingkatkan bagi membolehkan jentera ini mengendalikan jumlah tork yang tinggi itu. Menurut Pagani, pemandu kini boleh menekan brek pada saat-saat akhir sebelum memasuki selekoh.
Bercakap tentang brek, Imola dilengkapi dengan sistem brek Brembo yang terdiri daripada cakera berukuran 398mm di hadapan dan 380mm di belakang, dengan padanan angkup enam dan empat omboh. Tayar yang digunakan adalah Pirelli Trofeo R.
Satu lagi aspek yang diberi perhatian adalah berat. Bagi model ini, Pagani menggunakan casis monocoque yang diperbuat menggunakan daripada Carbo-Titanium HP62 G2 dan Carbo-Triax HP62 yang dikatakan dapat mengurangkan berat dan pada masa yang sama meningkatkan ketegaran.
Bukan itu sahaja, Imola turut menampilkan teknologi cat baharu yang dikenali sebagai Acquarello Light yang dikatakan mengurangkan berat sebanyak 5kg tanpa menjejaskan kualiti warna dan kekilatannya. Hasilnya, model ini mempunyai berat kering 1,246kg sahaja.

;