Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Tempatan

Pasukan Viper Niza Racing dari Malaysia bakal beraksi di WTCR Sepang pada 13 Disember ini

Erywan 05/12/2019 | 01:01 MYT
Selepas kemenangan dalam perlumbaan ketahanan TCR SPA500 24 jam di Belgium baru-baru ini, Viper Niza Racing Team bakal menyertai World Touring Car Race yang pertama diadakan di Malaysia bermula 13 sehingga 15 Disember 2019 di Litar Antarabangsa Sepang.
Pasukan itu diketuai pelumba veteran Touring Car yang sudah menyertai acara itu selama lima tahun iaitu Douglas Khoo. Beliau adalah seorang daripada tiga pelumba Malaysia wildcard yang akan memandu Seat Leon Cupra TCR.
Beliau yang juga pemilik Pasukan Niza Racing berkata, berlumba di tempat sendiri menjadi suatu yang cukup menarik, tetapi pihaknya tidak meletak sebarang sasaran.
“Bagaimanapun, kemenangan TCR SPA500 di Belgium baru-baru ini sememangnya memberi kami perhatian antarabangsa.
“Tetapi itu perlumbaan ketahanan (endurance), berlainan dari WTCR yang pantas dengan 9 hingga 12 pusingan dari 3 perlumbaan dalam satu hujung minggu. Untuk WTCR di Sepang, kami bersiap sedia untuk aksi menarik sepanjang perlumbaan,” katanya.
Khoo sebelum ini menyertai acara Siri TCR Asia, Asian Le Mans, Blancpain GT, Michelin Le Mans Cup dan Sepang 12-Hour Endurance Race.
Beliau bakal bersaing dengan pelumba Touring Car terbaik dunia seperti Yvan Muller, Gabriele Tarquini, Tom Coronel, Robb Huff, Augusto Fafrus, Esteban Guerrieri, Andy Priaulx dan Tiago Monteiro yang mewakili pasukan pengeluar membabitkan Hyundai, Seat, Lynk & Co, Audi, Volkswagen, Honda serta Alfa Romeo.
Viper Niza Racing Team terdiri daripada mekanik dan jurutera perlumbaan dari Malaysia sepenuhnya. Pengurus pasukan, Niko Ode Prayitno berkata, pasukan itu berharap dapat memanfaatkan semua data di Sepang selama ini sebagai kelebihan untuk mereka.
;