Antarabangsa
Paten Honda Civic Sedan 2022 Terdedah
Beberapa gambar paten Honda Civic versi sedan edisi 2022 kini dikongsi di laman forum Civic XI, dipercayai model generasi ke-11 yang sepatutnya diperkenalkan sebelum tahun 2021.
Bahagian depan kereta popular dari Jepun ini ada pembaharuan pada tiang B dengan struktur bumbung lebih rata melengkung sedikit hingga ke bahagian belakang.
Harus ditekankan bahawa, konsep rekaan ini ternyata lebih kemas dan minimalis seperti yang dapat disaksikan pada model generasi baharu Accord atau Insight. Bahagian belakang nampaknya seperti tiada jalur lampu LED seperti yang terdapat pada Civic Hatchback.
Set lampu belakang pula sudah berubah mirip gaya produk keluaran Jerman atau sedikit gaya seakan model kereta Korea Selatan.
But belakang nampaknya sedikit besar menandakan mungkin ada peningkatan ruang kelegaan untuk kepala dalam kabin atau ruang simpanan but lebih luas berbanding model Civic sedia ada.
Jika diteliti dari sudut sisi, nampak seperti bahagian depan dan belakang sudah dipanjangkan. Cukup janggal atau buruk dalam dokumen paten tetapi diharapkan ia menjadi jauh lebih menarik sebaik sahaja produk akhir siap.
Honda sebelum ini sudah mengesahkan akan memperbaharui model Civic terlebih dahulu sebelum melakukan kerja-kerja sama untuk versi prestasi Si dan Type R. Cumanya, ada khabar versi coupe Civic akan akan dihentikan disebabkan sambutan semakin hambar bagi kenderaan jenis dua pintu seperti itu.