Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Antarabangsa

Pemilik Yamaha Exciter 135 Vietnam Ubah Jadi 135LC Malaysia

Erywan 06/07/2020 | 06:36 MYT

Yamaha Exciter kategori 135cc di Vietnam masih popular dalam kalangan peminat motosikal walaupun pengeluarannya sudah ditamatkan kira-kira 5 tahun lalu, diganti dengan model Exciter 150.

Di Malaysia, Yamaha Exciter 135 ialah Yamaha 135LC. Ada pemilik motor Vietnam yang juga pemilik kapcai 'raja klac' Yamaha tertarik dengan gaya model Yamaha 135LC keluaran kilang Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) di Sungai Buloh, Selangor.
Khabarnya dia sudah labur 100 juta dong (RM18,500) untuk transformasi ini. Berasal dari bandar Nha Trang, pemilik itu menanggalkan cover set Exciter 135 untuk menyarung set lengkap 135LC berwarna biru kelabu dengan beberapa pelekat badan kustom.
Kit ini ada perbezaan dengan model di Vietnam iaitu bahagian madgad depan, pelindung enjin selain beberapa tambahan modfikasi seperti membabitkan meter baharu dan integrasi lampu belakang pada bar pemegang pembonceng.
Bahagian hendal menyaksikan penggunaan tuil brek dan klac jenama Brembo dan perumah pendikit Domino. Brembo ialah jenama sistem brek dari Itali untuk motosikal dan kereta. Di Vietnam, Brembo menjadi pilihan utama kaki motor dan tukang kustom walaupun berharga mahal.
Pemiliknya juga menambah satu meter baharu yang memaparkan fungsi rev dalam bentuk analog dan satu skirn digital untuk kadar kelajuan selain beberapa maklumat tambahan. Ini disebabkan meter asal seperti pada 135LC Malaysia, ia tiada paparan rev enjin.
Satu damper jenama Matris SDR berwarna hitam kuning digunakan untuk menguatkan kestabilan bahagian hendal-fork dan mengurangkan kesan gegaran semasa tunggangan kelajuan tinggi. Rim asal Exciter 135 berbentuk lima bilah ditukar kepada jenis 5 bentuk huruf Y daripada jenama Daytona. Harga rim ini sekitar 10 juta dong atau RM1,850.
Walaupun tuil brek jenama Brembo, pemilik motosikal ini memilih angkup brek Frando untuk rim depan dan belakang serta dua cakera daripada jenama Galfer. Memang benar, Brembo cukup popular berbanding Frando tetapi brek kurang popular ini dikatakan memberi prestasi memberhentikan motosikal agak baik.
Suspensi belakang ternyata lebih menarik perhatian iaitu jenis Ohlins dengan sambungan satu tangki minyal kecil untuk menyerap impak gegaran mahupun hentakan. Komponen ini dikatakan berharga anatra 14 hingga 15 juta dong di Vietnam (RM2,590 hingga RM2,775).
Enjin asal Exciter 135 adalah jenis silinder tunggal SOHC berkapasi 134.4cc dengan sistem penyejukan cecair. Ia boleh mengekstrak kuasa 12hp pada 8,500rpm dan tork 11.79Nm pada 5,000rpm.
Jika diteliti, ada berlaku tambahan kuasa dan ini disebabkan pemilik asal ada membuat modifikasi enjin termasuk penggunaan komponen pencucuhan baharu. Malangnya, dia tidak dedahkan resipi modifikasi enjin atau berapa kelajuan maksimum kapcai ini.
Sistem ekzos digunakan datangnya daripada jenama LeoVince dengan gabungan sambungan paip jenis titanium dan mufler gentian karbon.
Walaupun pemilik ini tidak mahu kongsi jumlah pelaburan pada Yamaha 135LC ini, portal ZingNews menganggarkan ia sekitar 100 juta dong! Agak mahal juga kos bentuk Exciter 135 jadi ala-ala Yamaha 135LC di Malaysia.

Sumber: Zing News
#Modifikasi #Yamaha
;