Tempatan
Perodua Bezza 2020 Lancar Secara Rasmi - 5,600 Unit Diserahkan Januari Ini
Perodua akhirnya melancarkan secara rasmi model Bezza 2020 untuk pasaran Malaysia yang mana dijangka 5,600 unit akan diserahkan pada Januari ini.
Perodua Bezza 2020 ditawarkan dalam varian 1.0 G MT, 1.0 G AT, 1.3 X AT dan 1.3 V AV, berharga dari RM34,580 hingga RM49,980 (harga atas jalan sebelum insuran di Semenanjung Malaysia).
Apa yang menariknya, ia kini dilengkapi dengan Sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA*) 2.0 menerusi varian AV, menjadikannya sedan dengan ciri sedemikian yang paling mampu milik di Malaysia.
ASA 2.0 yang membantu mengurangkan risiko pelanggaran terdiri daripada Pengesan Pejalan Kaki (sehingga 50 km/j), Amaran Pra-Pelanggaran (sehingga 100 km/j), Brek Pra-Pelanggaran (sehingga 80 km/j), Amaran Pergerakan Hadapan dan Kawalan Kesilapan Pedal.
Perodua Bezza 2020 juga tampil dengan gril hadapan dan bampar baharu, juga lampu hadapan LED dan skirt sisi dwi-tona yang kedua-duanya terdapat pada semua varian.
Varian X dan AV dilengkapi dengan rim aloi 15 inci manakala cermin sisi berkuasa boleh laras kini terdapat pada semua varian (boleh lipat pada AV).
Dua warna luaran baharu bagi Bezza – Garnet Red (bagi varian-varian 1.3 liter sahaja) dan Granite Grey – menyertai empat warna yang sedia ada, iaitu Ivory White, Glittering Silver, Ocean Blue dan Sugar Brown.
Di samping itu, varian X kini didatangkan dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan kawalan cengkaman yang mana sebelum ini hanya terdapat pada varian AV.
Kombinasi meter beriluminasi putih menaikkan lagi gaya sudut dalaman, manakala kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, serta sensor sisi hadapan, terdapat pada varian X dan AV. Semua varian didatangkan dengan sensor undur; varian AV turut menambah kamera undur.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya yakin Bezza 2020 akan terus digemari ramai yang akan disasarkan dengan jualan 4,000 unit sebulan.