Tempatan
Perodua labur RM7 juta hasil komponen badan bagi model lama seperti Kancil, Viva, Kelisa dan Myvi
Perodua memusatkan pengeluaran alat ganti untuk model terdahulunya dengan melancarkan mesin press stamping baharu di premis pembekalnya IQM Sdn Bhd di Tanjung Malim, Perak.
Langkah itu adalah satu inisiatif Perodua bersama dengan pembekalnya untuk mengembangkan perniagaan dan keupayaan mereka ke arah menjadi pembekal automotif bertaraf dunia.
Perodua melaburkan RM7 juta bagi mesin tersebut, termasuk pengangkutan dan pemasangannya di IQM. Mesin stamping hidraulik 1,600-tan metrik itu akan menghasilkan komponen badan kenderaan seperti penutup enjin, panel luar sisi, panel suku belakang, fender, pintu dan bumbung untuk model Perodua terdahulu seperti Myvi generasi pertama, Viva, Kelisa dan juga Kancil.
Perodua juga memindahkan semua acuan stamping (dies) yang diperlukan untuk menghasilkan alat ganti model terdahulu ke IQM.
Ini membebaskan ruang di dalam kilang Perodua, meringkaskan proses keseluruhan, menjimatkan kos dan masa, serta memudahkan pemantauan dan pengurusan di bawah satu bumbung. Perodua turut berkongsi kemahiran dan pengetahuan dengan IQM berkenaan pengeluaran alat ganti model terdahulu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya membuat keputusan untuk memusatkan pengeluaran alat ganti model terdahulu di IQM berdasarkan empat teras.
Menurutnya, pertama, pihaknya mahu terus menyokong pemilik model terdahulu dengan menawarkan alat ganti yang berkualiti, pantas dan berpatutan menerusi perniagaan Badan & Cat dan selagi anda memiliki kenderaan Perodua biar lama mahupun baharu, mereka perlu dijaga.
“Dua, kami komited untuk membangunkan semua 135 pembekal kami di Malaysia, bukan sahaja melalui perniagaan kami dengan mereka tetapi menerusi perkongsian kemahiran dan teknologi. Tiga, langkah ini mewakili komitmen kami kepada negara dan ekonominya dengan peningkatan daya saing ekosistem automotif Malaysia.
“Akhirnya, ia mewakili komitmen Perodua untuk terus meningkatkan kualiti dan kecekapannya ke arah menjadi sebuah syarikat yang lebih baik, maju dan mampan,” katanya.
Sejak 1994, Perodua menjual lebih 3.7 juta kenderaan di Malaysia. Kini, lebih kurang satu pertiga daripada keseluruhan permintaan untuk alat ganti Perodua adalah untuk model terdahulu.
Dengan kandungan tempatan melebihi 90 peratus bagi seluruh barisan modelnya, Perodua merupakan pembeli komponen automotif terbesar di Malaysia, membelanjakan RM4.5 bilion setakat tahun ini daripada RM5.4 bilion yang diperuntukkan untuk keseluruhan 2019.
IQM menjadi pembekal Perodua sejak 2002. Ia kini membekalkan komponen stamping logam, pemasangan badan dan tiub brek kepada Perodua. IQM mula menghasilkan alat ganti Viva apabila pengeluaran model tersebut berakhir pada 2014, dan pada tahun lepas ia mula menghasilkan alat ganti Myvi generasi kedua di barisan pengeluaran khas yang baharu.