Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Antarabangsa

Peugeot 508 PSE - Kereta Produksi Peugeot Paling Berkuasa Setakat Ini

Erywan 29/09/2020 | 03:58 MYT

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Peugeot sudah agak senyap dalam segmen prestasi dan hanya menumpukan usaha mereka terhadap SUV dan crossover. Namun untuk tidak mengecewakan peminat mereka, jenama dari Perancis itu telah memperkenalkan 508 PSE (Peugeot Sport Engineered).

Ditawarkan dalam versi sedan dan wagon, 508 PSE adalah kereta produksi Peugeot paling berkuasa setakat ini. Ia menampilkan sistem hibrid yang menggabungkan enjin turbo 1.6-liter empat silinder dan dua buah motor elektrik.
Secara individu, enjin terbabit menghasilkan 197hp dan 300Nm, manakala motor elektrik hadapan menjana 109hp dan 320 Nm, dan motor elektrik belakang pula menjana 111hp dan 166Nm. Gandingan ini memberikan 508 PSE kuasa keseluruhan sebanyak 355hp dan 520Nm.
Dilengkapi dengan transmisi automatik lapan kelajuan, kedua-dua versi sedan dan wagon mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam hanya 5.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250km/j. Sistem hibridnya mendapat bekalan kuasa daripada bateri lithium ion berkapasiti 11.5kWj yang membolehkan model ini bergerak sejauh 42km pada kelajuan sehingga 135km/j tanpa menggunakan setitik petrol.
Dari segi pengecasan, bateri tersebut mengambil masa selama tujuh jam menerusi soket domestik atau dua jam dengan ‘wall box’ 7kW untuk mencapai tahap kuasa penuh.
508 PSE didatangkan dengan lima mod pemanduan iaitu Electric, Comfort, Hybrid, Sport dan 4WD. Pengendaliannya dimantapkan dengan penggunaan sistem suspensi adaptif yang boleh dikonfigurasikan dalam mod Comfort, Hybrid atau Sport.
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan rim aloi berukuran 20 inci yang dibalut tayar Michelin Pilot Sport 4S. Jarak antara roda kiri dan kanan juga lebih lebar dibandingkan dengan model standard. Tugas membrek pula diserahkan kepada cakera berukuran 380mm yang diapit oleh angkup empat omboh.

#Peugeot
;