Antarabangsa
Porsche 911 Turbo S - Model 911 Generasi Kelapan Paling Berkuasa Setakat Ini
Porsche memperkenalkan model 911 generasi kelapan (992) yang paling berkuasa setakat ini iaitu 911 Turbo S.
Boleh didapati dalam versi Coupe dan Cabriolet, model ini dikuasakan oleh enjin 3.8-liter enam silinder yang diperkuatkan lagi dengan dua pengecas turbo VTG.
Enjin ‘boxer’ itu menghasilkan 650hp dan 800Nm, mewakili peningkatan sebanyak 70hp dan 50Nm berbanding Turbo S sebelum ini.
Digandingkan dengan transmisi PDK lapan kelajuan yang dibangunkan khas, jentera ini boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 2.7 saat iaitu 0.2 saat lebih pantas. Kelajuan maksimum bagaimanapun kekal pada 330km/j.
Menurut Porsche, peningkatan kuasa itu dicapai menerusi beberapa modifikasi termasuk rekaan sistem penyejukan udara baharu, pengecas turbo lebih besar yang disusun secara simetri dengan penutup ‘wastegate’ dan sistem suntikan piezo.
Selain enjin yang lebih berkuasa, 911 Turbo S juga mempunyai badan yang lebih lebar berbanding model terdahulu supaya dinamik pemanduan dapat ditingkatkan.
Ia juga buat pertama kalinya dilengkapi dengan tayar berlainan saiz iaitu 255/35 20 inci di hadapan dan 315/30 21 inci di belakang.
Selain itu, model ini turut mendapat sistem suspensi aktif Porsche Active Suspension Management (PASM) yang lebih rendah sebanyak 10mm dan juga sistem ekzos sport dengan penutup boleh laras.
Antara kelengkapan standard yang disertakan adalah lampu Matrix LED, spoiler hadapan serta sayap belakang rekaan terbaru yang menghasilkan 15 peratus lebih ‘downforce’.
Ruang kabin pula menampilkan upholsteri kulit dan tempat duduk sport dengan pelarasan 18 cara. Ciri-ciri seperti roda stereng GT, pakej Sport Chrono dan sistem audio BOSE ditawarkan secara pilihan.