Tempatan
Renault Kiger, Enjin 3 Silinder Turbo Salur 100hp
Di India, segmen SUV kompak adalah antara segmen yang paling sengit dalam pasaran automotif negara itu dengan kehadiran model-model seperti Nissan Magnite, Honda WR-V, Hyundai Venue dan pelbagai lagi. Kini, persaingan dalam segmen terbabit bakal menjadi lebih hangat dengan kehadiran Renault Kiger.
Dipertontonkan menerusi Kiger Concept pada November tahun lalu, model ini dibina menggunakan platform CMFA+ dengan ukuran panjang 3,991mm, lebar 1,750mm dan tinggi 1,600m. Ukuran tapak roda adalah 2,500mm, manakala jarak lega tanah 205mm menjadikannya kenderaan lasak yang sesuai dengan pasaran India.
Reka bentuk Kiger tidak jauh berbeza dengan versi konsepnya. Ini boleh dilihat dengan jelas menerusi kemasan 3D pada jeriji hadapan, tiga unit lampu LED pada bampar hadapan dan lampu belakang berbentuk C. Pelindung hitam di sekeliling badan serta rak bumbung menyerlahkan lagi sifat SUV model ini.
Di dalam, fokus utama Kiger adalah teknologi dan praktikaliti menerusi penggunaan ruang. Dari segi teknologi, antara kelengkapan terkini yang disertakan secara standard pada model ini termasuklah kluster digital TFT berukuran tujuh inci, paparan infotainmen lapan inci dengan ciri ketersambungan Apple CarPlay, Android Auto, Bluetooth dan Wifi.
Bukan itu sahaja, ia juga didatangkan sistem audio premium Auditorium 3D by Arkamys dengan lapan pembesar suara, kad akses bebas tangan, kamera undur dan sistem pendingin hawa automatik dengan penapis udara PM2.5.
Untuk praktikaliti pula, Kiger menawarkan jarak antara tempat duduk hadapan sebanyak 710mm, manakala di belakang terdapat 222mm ruang lega kaki dan 1,431mm ruang siku. Kapasiti but adalah 405 liter namun ia boleh ditingkatkan sehingga 879 liter dengan melipat kerusi belakang sepenuhnya.
Kiger akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin. Varian teratas didatangkan dengan enjin turbo 1.0-liter tiga silinder yang turut digunakan oleh Clio dan Captur di Eropah. Dengan 100PS dan 160Nm dari 3,200rpm, enjin ini dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan. Transmisi CVT X-Tronic akan menyusul selepas ia dilancarkan ke pasaran.
Satu lagi pilihan adalah enjin aspriasi natural 1.0-liter tiga silinder yang menghasilkan 72PS dan 96Nm. Pilihan transmisi bagi enjin ini adalah manual lima kelajuan atau AMT lima kelajuan.
Ciri-ciri keselamatan pula merangkumi empat beg udara dan peringatan tali pinggang keledar untuk tempat duduk hadapan. Selain India, Renault mengesahkan bahawa Kiger juga akan diperkenalkan di pasaran-pasaran membangun lain pada masa hadapan.