Antarabangsa
Renault Megane RS Trophy-R pecah rekod baharu di Suzuka
Nampaknya satu demi satu rekod sudah berjaya dipecahkan oleh Renault Megane RS Trophy-R sepanjang tahun ini.
Selepas menunjukkan aksi cemerlang di Nurburgring dan Spa-Francorchamps, hot hatch Perancis itu kini menempa nama sebagai kereta produksi pacuan roda hadapan (FWD) terpantas di litar Suzuka pula.
Dikemudi oleh Laurent Hurgon, jentera itu berjaya mengelilingi litar lumba sepanjang 5.8km itu dengan catatan masa 2 minit 25.454 saat, tiga saat lebih pantas daripada pemegang rekod sebelum ini.
Ini adalah satu pencapaian yang signifikan buat Renault di Jepun, di mana terdapatnya 10,000 peminat Renault Sport dan Trophy-R. Menurut syarikat itu, Jepun adalah pasaran terbesar bagi barisan model RS, mengalahkan Jerman dan Perancis.
Renault turut mengesahkan bahawa mereka sudah mengumpul 50 tempahan untuk Megane RS Trophy-R bagi pasaran negara matahari terbit itu dan sebahagian daripadanya dipesan dengan Carbon-Ceramic Pack. Pelanggan akan menerima kereta masing-masing bermula separuh pertama 2020.
Terhad kepada 500 unit sahaja untuk pasaran global, Trophy-R menjadi varian paling eksklusif dalam barisan Megane RS dengan kuasa berjumlah 300PS dan 420Nm yang dibekalkan oleh enjin turbo 1.8-liter empat silinder. Ia boleh didapati dengan transmisi dwi-klac EDC enam kelajuan atau manual enam kelajuan.
Tetapi apa yang menjadikan model berkenaan benar-benar istimewa adalah kehadiran komponen ringan seperti bonet karbon komposit, diffuser gentian karbon dan sistem ekzos titanium. Bukan itu sahaja, kerusi belakang juga dibuang dan hasilnya, sebanyak 130kg berat berjaya dikurangkan.