Antarabangsa
Renault Triber, MPV 7 tempat duduk yang terkecil dalam segmennya
Renault memperkenalkan Triber, MPV kompak yang dibangunkan khas untuk pasaran India. Bagaimanapun, ini tidak bermakna yang ia tidak akan memasuki pasaran lain seperti ASEAN yang dilihat turut mempunyai permintaan tinggi untuk kenderaan seperti ini.
Dari segi dimensi, Triber adalah lebih kecil berbanding kebanyakan kenderaan segmen B dengan ukuran panjang 3,990mm, lebar 1,739mm, tinggi 1,643mm dan jarak roda (wheelbase) 2,636mm.
Walaupun begitu, model ini mempunyai tahap fleksibiliti yang tinggi dan boleh memuatkan sehingga tujuh penumpang. Ia juga dikatakan mempunyai ruang bagasi terbesar dalam kategorinya (625 liter) dalam konfigurasi lima tempat duduk.
Ruang kabin tampil ringkas, tetapi masih memuatkan pelbagai kelengkapan terkini seperti kluster instrumen digital dengan skrin LCD berukuran 3.5 inci di tengah-tengah, skrin sentuh multimedia 8-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, kamera undur, sensor parkir serta ruang penyimpanan dan pemegang cawan yang dilengkapi dengan pendingin hawa.
Bukan itu sahaja, keselesaan penumpang di belakang turut diberi keutamaan menerusi corong penyaman udara yang terletak pada tiang tengah bagi barisan kedua dan siling bagi barisan ketiga.
Triber ditawarkan dengan enjin petrol 1.0-liter tiga silinder yang mampu menjana 72PS dan 96Nm, dengan pilihan transmisi manual lima kelajuan atau Automated-Manual Transmission (AMT). Menurut Renault, enjin Dual VVT itu merupakan enjin global yang turut digunakan pada model Clio dan Sandero.
Bagi aspek keselamatan pula, Triber didatangkan dengan empat beg udara (pemandu, penumpang hadapan, sisi kiri dan kanan bahagian hadapan) serta tali pinggang keledar tiga poin pada semua tempat duduk.