Antarabangsa
Renault ZOE generasi ketiga jarak pemanduan lebih jauh
Renault baru sahaja melancarkan ZOE generasi ketiga yang menampilkan reka bentuk lebih segar dan pelbagai penambahbaikan dari segi teknologi.
Antara penambahbaikan fizikal yang diberikan pada kereta elektrik kecil ini termasuklah bonet direka semula, bampar hadapan lebih lebar serta logo Renault terbaru dengan efek holografik. ZOE juga kini didatangkan lampu utama LED dan lampu kabus LED secara standard.
Lampu LED belakang kini lebih besar dan mempunyai grafik baharu, manakala rim pula didatangkan dalam pilihan saiz 15 hingga 17 inci. ZOE boleh didapati dalam sembilan warna, termasuk tiga warna baharu iaitu Quartz White, Flame Red dan Celadon Blue.
Di bahagian dalam pula terdapat bahan plastik sentuhan lembut (soft touch) dan panel instrumen bersaiz 10 inci yang adalah kelengkapan standard bagi semua varian.
Rekaan papan pemuka diambil daripada Clio dan ia menjadi hos kepada skrin sentuh 9.3 inci untuk sistem infotainmen. Selain itu, ZOE menerima brek parkir elektronik sebagai pengganti kepada brek parkir konvensional yang digunakan pada versi terdahulu.
Ini secara tidak langsung menghasilkan ruang untuk dua pemegang cawan dan tempat pengecas telefon wayarles pada konsol tengah. Berbanding model sebelum ini yang didatangkan dengan pek bateri 22kWh dan 41kWh, model generasi ketiga menampilkan bateri berkapasiti 52kWh yang membolehkan ia bergerak sejauh 390km atau 30 peratus lebih jauh berbanding sebelum ini.
Pengecasan bateri boleh dilakukan menerusi pengecasan AC dan DC. Menggunakan Wallbox 7kW, bateri boleh dicas penuh dalam masa 9 jam 25 minit, manakala pengecas awam berkapasiti 22kW pula boleh memberikan jarak pemanduan sejauh 126km dalam masa sejam.
Selain dari motor elektrik 80kW, ZOE juga boleh didapati dalam versi 100kW yang menjana kuasa bersamaan dengan 135PS dan 245Nm. Versi itu boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam kurang 10 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 140km/j.
Kedua-dua versi kini didatangkan dengan ciri B Mode yang meningkatkan efek brek regeneratif bagi tujuan menjadikan pemanduan di dalam kawasan bandar lebih mudah.
Dengan ciri ini, pemandu hanya perlu mengawal pendikit kerana ZOE akan membrek dengan sendiri dengan lebih cepat sebaik sahaja pendikit dilepaskan.