Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Antarabangsa

Rolls-Royce Cullinan Black Badge, warna luaran digilap 10 kali dengan tangan

Erywan 20/11/2019 | 06:21 MYT
Rolls-Royce memperkenalkan Cullinan Black Badge, model terbaru yang menyertai barisan eksklusif Black Badge selepas Wraith, Ghost dan Dawn.
Dibangunkan untuk menarik minat pembeli yang lebih muda, Cullinan Black Badge ditawarkan dengan 44,000 pilihan warna luaran, namun warna hitam yang dipaparkan in dijangka paling mendapat sambutan.
Menurut Rolls-Royce, warna hitam ini dihasilkan dengan menggunakan beberapa lapisan cat dan lakuer. Seterusnya, ia digilap dengan tangan sebanyak 10 kali untuk mendapatkan kesan warna yang lebih mendalam.
Bagi menghasilkan imej yang lebih ‘jahat’, komponen-komponen luaran seperti lencana Double R, keliling gril hadapan, kemasan bingkai sisi, pemegang but, kemasan inlet udara dan muncung ekzos yang sebelum ini hadir dalam kemasan krom, turut digelapkan.
Model ini didatangkan dengan rim aloi tempaan berukuran 22 inci yang direka khas untuknya. Rim ini mempunyai grafik seakan gear yang bertujuan untuk memberikan bayangan tentang kuasa yang tersimpan di bawah hud.
Sementara itu, ruang kabin pula didominasi oleh material mewah baharu yang dikenali sebagai Technical Carbon. Dicipta sendiri oleh Rolls-Royce, material ini mengambil masa 21 hari untuk disiapkan dan setiap kepingan akan diperiksa oleh seorang tukang kraf.
SUV mewah ini juga mendapat Starlight Headliner dengan 1,344 lampu gentian optik yang membuatkan silingnya kelihatan seperti langit pada waktu malam yang dipenuhi gugusan bintang.
Seperti model-model Rolls-Royce yang lain, ruang dalaman Cullinan Black Badge boleh ditempah mengikut citarasa unik pelanggan dengan pelbagai pilihan upholsteri dan kemasan yang disediakan.
Apa yang menarik, Cullinan Black Badge turut didatangkan dengan pelbagai penambahbaikan yang melibatkan aspek teknikal. Sebagai contoh, enjin 6.75 liter twin-turbo V12 kini menjana 600PS dan 900Nm (29PS/50Nm lebih tinggi berbanding versi standard) dengan adanya sistem ekzos baharu.
Bukan itu sahaja, sistem pacuan semua roda dan sistem stereng semua roda turut dipertingkatkan, manakala reka bentuk cakera brek baharu membolehkan ia sejuk dengan lebih cepat.
;