Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Antarabangsa

Selamat Tinggal BMW i8, Ini 18 Unit Edisi Terakhir Yang Dihasilkan

Erywan 03/07/2020 | 08:55 MYT

Selepas tujuh tahun berada di pasaran, pengeluaran BMW i8 akhirnya tiba ke penghujung. Lebih menyedihkan lagi, sehingga kini masih tiada berita mengenai pengganti kereta sport hibrid plug-in itu.

Bagaimanapun, sebelum model itu meninggalkan dunia automotif buat selama-lamanya, BMW mengadakan satu majlis di kilang pengeluarannya di Leipzig bagi memperlihatkan 18 unit terakhir yang dihasilkan.

Apa yang menarik mengenai unit-unit tersebut adalah setiap satunya didatangkan dalam warna eksklusif yang belum pernah digunakan sepanjang pengeluarannya. Ini termasuklah warna Austin Yellow, British Racing Green, Le Mans Blue dan Portimao Blue.

Menurut BMW, oleh kerana warna-warna itu tidak pernah digunakan untuk model ini, proses penghasilan dan logistik menjadi lebih sukar. Ini ditambah lagi dengan komponen kustom untuk ruang dalaman seperti upholsteri Alcantara pada kerusi dan stereng serta kemasan dan panel khas yang dipesan oleh pelanggan.

Bercakap tentang pelanggan, sebahagian daripada i8 ini dimiliki oleh ahli kelab BMW i8 Club International. Mereka dijemput ke Leipzig untuk menyaksikan kereta-kereta mereka meninggalkan kilang terbabit bagi menjalani proses logistik untuk penghantaran.

BMW menghasilkan kira-kira 20,500 unit i8 sejak ia diperkenalkan buat kali pertama pada 2013. Sebahagian kecil daripada jumlah itu terdiri daripada model Roadster yang mula memasuki pasaran pada 2017.

i8 dikuasakan oleh gabungan enjin turbo 1.5-liter tiga silinder dan sebuah motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 374hp. Jumlah berkenaan tidaklah setinggi mana jika dibandingkan dengan pesaing-pesaingnya, namun dengan struktur yang diperbuat daripada aluminium dan gentian karbon, ia boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam kurang lima saat.

#BMW #i8
;