Tempatan
Shelby GT500CR Pertama Dunia Guna Badan Gentian Karbon
Syarikat Classic Recreations tampil dengan satu binaan badan baharu untuk satu model kereta klasik popular. Kereta ini dipanggil Shelby GT500CR Mustang.
Apa yang menarik ialah ini adalah Shelby GT500 pertama di dunia yang menggunakan badan diperbuat dari gentian karbon penuh. Classic Recreations sebenarnya sudah lebih 15 tahun terbabit dalam kerja-kerja restorasi model muscle car Amerika. Firma ini berpangkalan di Texas, Amerika Syarikat.
Pada Mei tahun lalu, Classic Recreations ada mengumumkan projek luar biasa ini dan menjadikan model Mustang Shelby edisi 1967 sebagai bahan eksperimen. Material gentian karbon ini membantu mengurangkan berat asal hampir 272 kilogram. Untuk menjayakan projek itu, Classic Recreation menjalin kerjasama dengan pihak SpeedKore.
Mereka mengambil badan keluli asal GT500CR tahun 1967 untuk membuat imbasan, rekaan semula dan melakukan proses kejuruteraan dengan bantuan CAD sebelum badan baharu dihasilkan. Hasilnya, badan gentian karbon ini menyamai badan keluli dan setiap panel didapati seragam untuk dipasang pada casis kereta.
Ada opsyen mencetak jalur perlumbaan di atas badan kereta dan contoh pertama disediakan berwarna merah. Pelanggan boleh membuat pilihan warna sendiri. Kereta ini menggunakan rim 18 inci Forgeline yang dibalut tayar BFGoodrich Rival S berukuran 275/35/18 (depan) dan 335/30/18 (belakang).
Sistem brek diganti kepada jenis angkup Wilwood enam piston dan rotor 14 inci untuk rim depan dan di belakang, rotor 13 inci dan kaliper enam omboh. Enjin kereta binaan Classic Recreations ini adalah jenis Ford 5.2 liter Coyote (Gen 3) dengan sistem pengecas lampau (supercharger) 2.9 liter Whipple. Hasilnya, 810hp dan tork 913Nm boleh diekstrak.
Sebagai padanan, kereta kebanggaan rakyat Amerika ini dipasang sistem transmisi 10 kelajuan automatik dari Ford. Ada fungsi paddle shifter untuk menukar gear. Tiada gambar kabin dikongsi tetapi difahamkan, kereta ini ada menggunakan material Alcantara dan kulit.
Selain itu, ada set gugusan meter kustom Shelby, meter laju baharu dan sistem audio Kicker serta Kenwood dalam kabin. Kereta ini dikatakan boleh capai kelajuan lebih 300 kilometer sejam. Harga? Model GT500CR paling asas dengan badan gentian karbon ialah AS$265,000 (RM1.07 juta) dan jika mahu lebih premium, harga bermula serendah AS$298,000 (RM1.2 juta).