Tempatan
Spyshot: Nissan Navara NP300 Facelift (2021) Dikesan Di Semenyih?
Nissan Navara NP300 dilancarkan di Malaysia pada 2015 dan tahun lalu Nissan global menerusi saluran Youtube memuat naik video teaser pelancaran Nissan Navara (2021) pada 5 November 2020.
Pelancaran Nissan Navara (2021) terbabit menampilkan perubahan major selepas enam tahun yang mana bentuk badan direka semula dengan melucutkan nama NP300. Penampilan luaran dirombak semula mengambil inspirasi model Titan saiz penuh terkini yang menampilkan gril 'interlock' lebih besar yang terdiri daripada tiga baris bar gril mesh yang dikelilingi dengan kemasan krom.
Lencana Navara berwarna merah disematkan pada tengah gril yang kemudian dipadankan dengan lampu depan LED quad projektor dan lampu nyala siang (DRL) bentuk C. Sementara bahagian belakang Navara baharu didatangkan dengan lampu LED yang turut menampilkan grafik bentuk C serta hujung belakang yang direka semula dengan skrip Navara.
Bampar belakang lebih besar didatangkan dengan pemijak kaki binaan dalam bagi memudahkan operasi keluar masuk barang. Imej bentuk belakang Navara yang sama juga didakwa dikesan di depoh simpanan Semenyih Hi-Tech Industrial Park.
Imej intip yang dimuatnaik Raymond Lok Twe dalam group Facebook Nissan Navara NP300 Malaysia Club (Official) itu menunjukkan beberapa unit Navara facelift berwarna hitam dan putih di bawah khemah. Buat masa ini masih tiada maklumat dari Edaran Tan Chong Motor bilakah model berkenaan bakal lancar di pasaran Malaysia namun difahamkan stok semasa Navara semakin habis dijual.
Bagaimanapun, negara jiran Thailand sudah pun melancarkan versi facelift tersebut. Nissan Navara (2021) didatangkan dengan enjin YS23 2.3 liter turbo 4-silinder yang menghasilkan kuasa 188hp pada 3,750rpm dan tork 450Nm pada 1,500-2,500rpm.
Belum dapat dipastikan sama ada pasaran Asean akan menerima enjin 2.5L turbo seperti sebelum ini dengan transmisi manual 6-kelajuan dan automatik 7-kelajuan.
Dari segi keselamatan, Navara ditawarkan dengan ciri keselamatan aktif termasuklah Brek Kecemasan Autonomi, Amaran Tukar Lorong dan ambil alih brek, Pemantauan Titik Buta dan Amaran Perhatian Pemandu selain Sistem Kamera 360 darjah bersama Pengesan Objek Bergerak (MOD).