Antarabangsa
SUV Pertama Aston Martin, DBX Lancar Di Malaysia - Harga Bermula RM818,000
Sebelum ini terkenal dengan kereta sport, kini Aston Martin akhirnya membawa masuk kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama mereka, Aston Martin DBX ke pasaran Malaysia. Dengan menggunakan platform SUV baharu itu, ia adalah satu kenderaan yang menarik dengan rekaan dan kejuruteraan British.
SUV dengan berat 2,245 kilogram itu dijana enjin yang sama digunakan pada Vantage dan DB11, iaitu nadi AMG V8 berkapasiti 4.0 liter dibantu dengan turbo berkembar. Ia mampu menghasilkan 542hp dengan tork setinggi 700Nm.
Hasilnya, SUV pertama Aston Martin itu boleh memecut 0-100km/j dalam 4.5 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum 291km/j yang menggunakan transmisi sembilan kelajuan automatik. Jentera pacuan semua roda itu juga dibantu dengan komponen active differential termasuklah diff tengah aktif dan LSD elektronik.
Suspensi Aston Martin DBX menggunakan sistem udara adaptif sebagai ciri standard. Ia membabitkan sistem kawalan anti-oleng 48 voltan dan sistem penyerap hentakan adaptif elektronik.
Ini membolehkan DBX mempunyai kedudukan 50mm lebih rendah dan boleh ditinggikan sehingga 45mm berbanding ketinggian asal (190mm) bergantung kepada keperluan pemanduan.
Bentuk luaran Aston Martin DBX membawakan reka bentuk yang sleek dimana jarak rodanya dipanjangkan semaksimum yang mungkin. Ia adalah untuk menawarkan ruang kabin yang lebih luas dan selesa. Aston Martin DBX ini juga mempunyai garis bumbung yang rendah, diikuti dengan gril hadapan yang besar.
Bahagian belakang, lampu utama mengambil inspirasi daripada model Vantage, sementara rekaan bampar pula sedikit agresif dengan kehadiran tip ekzos pada kiri dan kanan, serta pemasangan diffuser dan skirt sisi dalam warna hitam gelap.
Bagi memastikan ia sebuah SUV mewah dan sporty, DBX dipadankan tempat duduk dibaluti dengan kulit, diikuti dengan upholsteri Alcantara serta roda stereng balutan kulit yang dibelakangnya mempunyai paddle shifter.
Sistem infotaimen pada bahagian tengah dilengkapi skrin sentuh bersaiz 10.25 inci diikuti dengan skrin kluster digital 12.3 inci di hadapan pemandu.
Rekaan konsol tengah menampilkan segala butang kawalan, manakala ruang di bahagian bawah boleh digunakan untuk meletak barang seperti peranti pintar. Ruang kabin dimewahkan lagi dengan kehadiran bumbung kaca panorama.
Aston Martin membina DBX di kilangnya di St Athan, Wales dan ia pada harga RM818,000 (tidak termasuk duti, cukai dan insurans).
Spesifikasi:
- Enjin: 4.0 liter V8 Twin Turbo
- Kuasa maksimum: 550PS pada 6,500rpm
- Tork maksimum: 700Nm antara 2,200 sehingga 5,000rpm
- Pecutan 0-100km/j: 4.5 saat
- Pecutan maksimum: 291km/j
- Kapasiti bahan api: 85 liter
- Berat: 2,245kg