Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Antarabangsa

Syarikat Baru Automotif UK Perkenalkan Apex AP-0 Concept, Harganya Tidak Murah

Erywan 17/03/2020 | 03:45 MYT

Boleh dikatakan selang setiap beberapa bulan ada sahaja jenama baharu automotif yang muncul. Di United Kingdom, sebuah syarikat yang dikenali sebagai Apex mengumumkan ketibaan mereka dalam segmen supercar elektrik dengan AP-0 Concept.

Menurut syarikat itu, model berkenaan akan memasuki fasa pengeluaran pada suku keempat tahun 2022 dan akan dipasarkan ke seluruh dunia. Seperti yang dijangka, harganya tidak murah iaitu dari £150,000 (RM792,400).
Sebahagian besar daripada AP-0 diperbuat daripada gentian karbon dan ini termasuklah casis dan panel badan. Hasilnya, Apex berjaya mengekalkan berat keseluruhan kereta ini di bawah 1,200kg.
Rekaan badan supercar elektrik ini diinspirasikan oleh jentera Formula 1 dan Le Mans bagi menjana ‘downforce’ yang tinggi tanpa memerlukan spoiler. Ciri reka bentuk yang paling menonjol terletak di bahagian belakang, di mana bentuk lampunya mencerminkan logo jenama itu sendiri.
Ruang kokpit AP-0 menampilkan stereng berbentuk segi empat yang diperbuat daripada gentian karbon dan aluminium, serta sistem paparan yang terdiri daripada tiga buah skrin. Antara teknologi tercanggih yang ditampilkan adalah realiti bertambah (augmented reality), serta sistem pemanduan autonomi Tahap 3.
AP-0 hadir dengan tren kuasa elektrik sepenuhnya yang merangkumi bateri lithium-ion berkapasiti 90kWh. Dengan 650hp dan 580Nm yang tersedia dari 0rpm, jentera ini hanya memerlukan 2.3 saat untuk memecut dari 0 hingga 100km/j dan boleh bergerak selaju 305km/j.
Jarak pemanduan yang didakwa oleh Apex adalah 515km dengan satu cas penuh. Bercakap tentang cas, pek bateri itu boleh dicas sehingga kapasiti 80 peratus dalam masa 15 minit dengan menggunakan pengecas pantas CCS.
Untuk aspek pengendalian, AP-0 dilengkapi dengan sistem suspensi jenis ‘push-rod’ yang biasanya terdapat pada jentera Formula 1. Sistem brek pula terdiri daripada cakera karbon seramik 360mm dengan angkup enam omboh di hadapan dan cakera 340mm dengan angkup empat omboh di belakang.

;