Tempatan

TLX Type S Boleh Menjadi Sedan Terbaik Acura

Erywan
31/05/2021
07:42 MYT
Sponsor Banner
TLX Type S Boleh Menjadi Sedan Terbaik Acura
Acura baru-baru ini melancarkan sedan berprestasi tinggi TLX Type S ke pasaran Amerika Syarikat, sekali gus menandakan kembalinya nama ‘Type S’ selepas 13 tahun. Model yang ditunggu-tunggu itu boleh didapati di bilik pameran Acura bermula 23 Jun pada harga (RM216,652), namun bilangannya terhad kepada 2,000 unit sahaja.
Didedahkan hampir setahun lalu, TLX Type S boleh dibezakan dengan versi standard menerusi rekaan bampar yang lebih agresif, ‘splitter’ hadapan, serta ‘diffuser’ yang menempatkan sepasang muncung ekzos berkembar.
Ia didatangkan standard dengan rim 20 inci yang dibalut tayar Pirelli Cinturato P7, namun dengan bayaran tambahan sebanyak $800 (RM3,314) pelanggan boleh mendapatkan pakej ‘High Performance Wheel and Tire’ merangkumi rim lima bilah ala NSX dan tayar Pirelli P Zero. Menurut Acura, pakej ini boleh mengurangkan berat sebanyak 9.5kg.
Tema sporty diteruskan pada bahagian dalaman menerusi kerusi sport yang diberi balutan kulit Milano dan kemasan Ultrasuede, stereng ‘flat bottom’ dan trim aluminium pada papan pemuka. Kelengkapan standard yang disertakan tidak kurang hebatnya, termasuk skrin infotainmen berukuran 10.25 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio dengan 17 pembesar suara serta sistem pencahayaan ambien.
Kekuatan sebenar TLX Type S bagaimanapun terletak di bawah hud, di mana terdapatnya enjin turbo 3.0-liter V6 yang menghamburkan 335hp dan 480Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik 10 kelajuan dan sistem Super Handling All-Wheel Drive (SH-AWD) dengan teknologi pemvektoran tork.
Dari segi prestasi, gabungan itu membolehkan sedan ini memecut dari 0 hingga 96km/j dalam sekitar lima saat, iaitu 25 peratus lebih pantas berbanding TLX standard. Bukan itu sahaja, kelajuan maksimumnya turut meningkat dari 209km/j kepada 249km/j. Karakter pemanduan dikawal menerusi Integrated Dynamic System yang mempunyai mod Sport+.
Sistem suspensi pula merangkumi topang ‘double wishbone’ pada bahagian hadapan dan ‘multi link’ pada bahagian belakang, serta peredam adaptif. Ia menggunakan cakera brek hadapan yang lebih besar dan angkup empat piston keluaran Brembo.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar