Watch
Toyota Corolla AE101 jentera lama yang masih berbisa
Nampak standard sahaja namun memiliki enjin yang agak berkuasa. Itulah gambaran bagi Toyota AE101 binaan 1995 atau lebih dikenali dengan nama SEG yang pasti memukau mata memandangnya.
Pemiliknya, Mohd Syaiful Amri Razali, 31, menggantikan enjin asal 2E yang bersesaran 1,300cc kepada rangkaian kuasa lebih bertenaga iaitu 4AGE 20 Valve 1.6 liter atau Blacktop 4 throttle.
Enjin ini sebenarnya diambil dari Toyota Corolla Levin (AE111 BZ-R) dan lebih unik ia mempunyai kotak gear enam kelajuan.
Berikutan enjin itu sudah cukup berkuasa, pemilik hanya membuat sedikit rombakan kecil dan menambah beberapa komponen berprestasi di dalam enjin.
Ia membabitkan melakukan ‘Port & Polish’, pengatur bahan api Sard, pam bahan api Walbro 255lph, Braided Hose Kit/Steel Braided Hose dan banyak lagi.
Kuasa jentera sedikit bertambah dengan pemasangan ekzos Apexi 4-2-1 dan peredam bunyi binaan khas 2.3 inci Stainless Steel.
Sudut luaran jentera agak menarik untuk diceritakan apabila banyak komponen dari varian Toyota yang digunakan.
Antaranya adalah bampar Crorolla AE101 FX, Jeriji dan logo AE101 FX, skirt sisi GT, selain jentera itu memiliki bumbung matahari daripada model Corolla AE111.
Pada bahagian hadapannya, boleh kelihatan bonet yang diambil daripada AE101 Levin dengan memiliki skop udara, manakala padanan GT Spoiler di belakangnya.
Rupa jentera ini diserlahkan lagi dengan rim Enkei RPF1 15 dengan balutan tayar jenama Bridgestone Potenza RE003 15/55 T.
Begitu juga ruangan dalaman di mana ia turut ditukar dengan pelbagai komponen dan paling ketara adalah menggunakan papan pemuka AE101 Wagon GT.
Pada ruang kokpit, ia dilengkapi dengan kerusi Recaro merah daripada Honda Integra Dc2 Type R yang turut dipadan stereng perlumbaan Tom serta Momo Booskit, selain boleh kelihatan tombol gear Momo.
Malah, ruang dalaman diperkemaskan dengan pelapik kaki Trueno dan sistem audio dipertingkatkan menerusi pemain Pioneer dan hasil bunyi lebih padu padanan beberapa amplifier Prokick.
Ditanya mengenai kos, pemilik hanya memaklumkan 'tidak terkira' kerana baginya kos modifikasi bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan sebaliknya kepuasan dalam menjelmakan jentera idamannya.
Baca juga artikel modifikasi lain: