Toyota GR Supra Dipertingkatkan Lancar di Malaysia, Hanya Varian 3.0 Liter, Harga RM589,987
Selepas diperkenalkan pada peringkat global, akhirnya Toyota GR Supra versi yang dipertingkatkan dengan lebih banyak kemudahan dan keselesaan kepada pengguna dilancarkan di negara ini.
Namun, Toyota GR Supra yang dipertingkatkan itu hanya ditawarkan dengan varian 3.0 liter sahaja. Ini bermakna, varian untuk 2.0 liter masih lagi tidak dibawa untuk masuk ke negara ini.
Ciri baharu yang ada pada Toyota GR Supra itu membabitkan:
Pengenalan Apple CarPlay (sambungan wayar) sudah tentu ia akan membuatkan pengguna peranti mudah alih Apple sentiasa terhubung dan terhibur di sepanjang perjalanan.
Ini akan melengkapi ciri sedia ada seperti skrin sentuh 8.8-inci dengan kawalan touch pad, navigasi binaan dalam serta ciri USB dan Bluetooth yang tersedia dalam kereta. GR Supra juga dilengkapi dengan sistem JBL HiFi Surround Sound dengan 12-pembesar suara untuk pengalaman audio terbaik.
Pertambahan ciri terbaru ini adalah naik taraf prestasi yang diperkenalkan pada Julai 2020.
Naik taraf itu membabitkan enjin turbocas enam-silinder sebarisnya yang kini menjana kuasa 388 PS antara 5,800 sehingga 6,500 rpm dengan pertambahan sebanyak 14 peratus.
Tork maksimum kekal 500 Nm, tetapi ia berada di puncak dalam julat yang lebih luas antara 1,800 rpm dan 5,000 rpm berbanding 1,600 rpm hingga 4,500 rpm sebelumnya.
Semua penambah baikan itu membolehkan GR Supra yang dilengkapi dengan transmisi automatik 8-kelajuan untuk memecut 0-100 km/j dalam masa 4.1 saat, menjadikannya 0.2 saat lebih pantas, berbanding 4.3 saat sebelumnya.
Casis GR Supra juga ditala dengan tambahan Performance Rod untuk meningkatkan ketahanannya dan memberikan kestabilan lebih baik ketika di selekoh.
Keselamatan kekal menjadi keutamaan Toyota, dan ia lebih penting untuk model seperti GR Supra yang memberikan pemanduan prestasi tinggi. Teknologi keselamatan yang dibina untuk GR Supra membolehkan pemandu mengunjurkan kemampuan kereta dan pemanduan mereka sendiri dengan selamat.
GR Supra ditawarkan dalam tujuh warna membabitkan White Metallic, Silver Metallic, Ice Grey Metallic, Black Metallic, Prominence Red, Lightning Yellow dan Matte Storme Grey Metallic.
Dijual pada harga bermula RM589,987 (dengan 50% pengecualian SST hingga 31 Disember 2021 dan tidak termasuk insurans). Harganya sama seperti sebelum ini.
GR Supra dengan kemaskini terbaru ini boleh ditempah dari bilik pameran rasmi Toyota GR Garage terpilih seluruh negara.