Tempatan
Toyota Land Cruiser 1980 Milik Tom Hanks Untuk Dijual, Harganya Tidak Murah!
Siapa tidak kenal dengan Tom Hanks ini, ia adalah pelakon yang hebat dan mungkin ramai juga yang kurang tahu bahawa beliau turut mempunyai minat dalam kenderaan.
Pelakon filem Forrest Gump dan Saving Private Ryan itu memiliki Toyota Land Cruiser buatan 1980. Jentera itu akan dilepaskan kepada pemilik baru yang mana ia bakal dijual secara bidaan tidak lama lagi.
Jentera itu sebenarnya memiliki spesifikasi yang cukup menarik selepas melakukan beberapa ubah suai. Perbezaannya, ia menggunakan enjin V6 4.3 liter daripada model kenderaan General Motors yang lebih moden dengan padanan transmisi lima kelajuan manual.
Ia juga menerima sistem suspensi berprestasi dengan penggunaan penyerap hentak Old Man Emu dan hub depan Warn, selain dilengkapi stereng dan brek berkuasa. Bagi melengkapkan penampilannya, ia menggunakan rim krom yang dibaluti Tayar Toyo Open Country 31×10.50R 15LT.
Ruang dalamannya pula, beberapa modifikasi dilakukan dengan padanan kerusi Porsche, sistem audio Sony, penyaman udara dan paling penting mempunyai tandatangan pelakon berkenaan pada papan pemuka.
Ia akan dijual secara bidaan di Bonhams Quail Lodge Auction dan difahamkan harga anggaran boleh mencecah USD75,000 (RM316,987) sehingga USD125,000 (RM528,312). Bagaimanapun harga itu boleh melebihi paras berkenaan.