Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Antarabangsa

Toyota RAV4 Baharu Kini Di Malaysia - Ini 13 Fakta Penting Yang Perlu Tahu Tentang SUV Itu

Erywan 18/06/2020 | 02:45 MYT

UMW Toyota Motor (UMWT) kini menambah satu lagi model import ke dalam barisan penawaran sedia ada dengan pengenalan Toyota RAV4 generasi kelima bagi pasaran Malaysia.

Apa membuatkan ia lebih menarik, generasi kelima RAV4 dihiasi dengan reka bentuk luaran serba baru yang tampak tegap menerusi garis tajam pada badan sekali gus membawa imej kompleks serta berkuasa bagi SUV premium.
Terdapat dua varian ditawarkan bagi RAV4 serba baru ini iaitu RAV4 2.5L yang dijual pada harga RM215,665 dan RAV4 2.0L dengan harga bermula RM196,436 (tidak termasuk insurans).
Enjin 2.5 liter (A25A-FKS) dan 2.0 liter (M20A-FKS) masing-masing menawarkan output 207PS/243Nm serta 173PS/207Nm.
Bagi enjin 2.5 liter digandingkan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan (Direct Shift 8-AT) sementara enjin 2.0 liter menggunakan transmisi jenis CVT dengan ciri Sequential Shiftmatic. Bagi kedua-dua transmisi, ia turut dilengkapi dengan mod Eco, Normal dan Sport, serta mempunyai Paddle shifter.
Untuk makluman anda semua ciri kedua-dua varian itu adalah sama, yang membezakan adalah rangkaian kuasa sahaja. Kedua-dua varian diberi enam pilihan warna membabitkan Dark Blue Mica, Grey Metallic, White Pearl CS, Red Mica, Attitude Black dan Silver Metallic.

Ini fakta penting untuk Toyota RAV4 yang dilancarkan di Malaysia
1.Seperti model terkini Toyota, RAV4 menggunakan platform baru Toyota New Global Architecture (TNGA) yang memberi kelebihan kepada tiga aspek membabitkan ketahanan, kestabilan dan aspek penglihatan.
2.Tampil konsep rekaan oktagon bersilang pada RAV4, sementara rekaan gril trapezoid berlapis membawa imej lebih lebar.
3.Dari sudut ukuran dimensi, ruang kabin RAV4 mempunyai kelebaran 1,855 mm dengan jarak antara roda 30 mm lebih panjang sekali gus menyediakan lebih ruang. Dengan badan yang lebih besar, ruang dalaman kabinnya juga diberikan rekaan baru sepenuhnya.
4.Papan pemuka memuatkan meter Optitron premium yang digunakan pula memberikan paparan jelas dan terang. Skrin Multi Information Display (MID) berwarna dengan saiz tujuh-inci melengkapkan lagi meter gabungan TFT yang boleh juga ditukar antara paparan analog ataupun digital.
5.Sistem infotainmen DVD-AVX tujuh-inci dengan enam pembesar suara padanya mempunyai pelbagai sambungan capaian seperti Mirrorlink, Miracast, AUX, Bluetooth, Apple CarPlay dan Android Auto. Ciri arahan suara juga tersedia bagi kedua-dua varian RAV4 untuk membolehkan kendalian beberapa ciri secara tanpa sentuhan.
6. Di ruang dalaman, bahan penebat bunyi dipasangkan pada lantai dan bersepadu dengan kawasan permukaan yang lebih luas. Ini membantu mengurangkan lagi kebisingan, kekerasan dan gegaran yang dapat dirasakan dari dalam kabin.
7.Kusyen tempat duduk depan kini lebih tebal dengan sokongan lumdar belakang badan yang diperbesarkan untuk menampung postur duduk yang lebih selesa serta mempunyai sistem pengudaraan. Tempat duduk pemandu juga mempunyai larasan lapan-arah dan ciri memori memudahkan lagi mereka untuk mendapatkan posisi duduk yang betul.
8.Penumpang belakang juga menikmati kemaskini yang sama pada tempat duduk, menjadikannya lebih selesa ketika dalam perjalanan dengan bahagian penyandar boleh direbahkan mengikut keselesaan, dengan nisbah lipat 60:40.
9.Ciri pintu belakang dengan sensor gerak kaki memudahkan pengguna untuk memasukkan barang ke ruang kargo. Hanya perlu gerakkan kaki di bahagian tengah bampar belakang (kunci perlu berada dekat dengan pengguna) dan pintunya akan terbuka secara automatik.
10.Ciri-ciri lain yang ada termasuk sistem pintar tanpa kunci serta lebih banyak slot USB untuk mengecas peranti elektronik, termasuk pad pengecas Qi tanpa wayar.
11. SUV ini turut dilengkapi cermin belakang Electro-Chromic yang menghindarkan silau dari kenderaan belakang, ciri amaran lintasan trafik di belakang dan peninjau titik buta, brek parkir elektronik dengan ciri HOLD untuk digunakan dalam keadaan curam.
12. Selain dilengkapi sehingga tujuh beg udara SRS, RAV4 menerima sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense (TSS) 2.0. Ini termasuk ciri seperti Sistem Pra-Perlanggaran, Amaran Penukaran Lorong dengan Bantuan Stereng, Bantuan Pengesanan Lorong dan Kawalan Melayar Radar Dinamik untuk semua kelajuan serta Lampu Tinggi Automatik.
13. Ia turut dilengkapi dua perakam video digital di hadapan dan belakang, sistem amaran tekanan tayar dan dipadankan sistem telematik kenderaan untuk mengesan serta memudahkan pencarian kereta sekiranya ia dicuri.

;