Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Watch

Toyota Supra semakin sukar ditemui di Malaysia.

Public Anonymous User 23/07/2018 | 00:26 MYT
Segelintir peminat kereta sport meminati jentera idaman dengan ciri-ciri baru dan moden, namun ada juga yang meminati gaya lama serta klasik berikutan yakin harganya melambung pada masa hadapan.

Berpegang dengan prinsip itu, seorang ahli perniagaan berusia 50-an yang hanya mahu dikenali 'Abang Mi' iaitu seorang peminat kereta sport Pasaran Domestik Jepun (JDM) sanggup membeli sebuah Toyota Supra.

Dia membeli jentera generasi keempat itu dengan harga lebih RM100,000 pada 18 tahun lalu.

Ketika itu, dia percaya bahawa jentera terbabit akan sukar diperoleh pada masa akan datang. Ini kerana pada waktu itu juga, jentera ini tidak banyak dijual di Malaysia dan ditambah pula ia dikatakan mungkin model terakhir Supra.

Disebabkan itu dia berani mempertaruhkan nasib membeli jentera sporty yang anda lihat dalam ruangan modifikasi kali ini.

Kini pelaburannya boleh dikatakan berbaloi kerana difahamkan harga jentera itu sangat mahal dan ada yang dijual melebihi RM200,000.

Jentera keluaran1993 ini tidak dibiarkan standard kerana ia sudah idinaik taraf terutama pada bahagian enjinnya dengan pelbagai komponen prestasi tinggi.

Percaya atau tidak semenjak dibeli, jentera ini hanya digunakan hanya beberapa kali dan banyak diparkir di rumah. Malah pernah ‘terlantar’ di bengkel selama tiga tahun akibat beberapa kerosakan besar yang dialaminya.

Namun dalam tempoh itulah pemilik mula tergerak hati untuk membaik pulih dan menaik taraf jenteranya secara menyeluruh.

Nekad dengan keputusan itu, pemiliknya melabur RM70,000 khas untuk menjelmakan Supra miliknya dengan enjin 2JZ GTE siap dimodifikasi untuk menyalurkan lebih 440hp.

Apa yang diubahsuainya?

Sudah pasti komponen dalaman enjin ditukar dengan produk berprestasi tinggi khas untuk meningkatkan sistem kuasanya.

Biarpun menggunakan kotak gear automatik, kelajuan yang terhasil dikatakan mampu melebihi 300 kilometer sejam (km/j).

Shifter Autocraft dari Pulau Pinang, adalah bengkel yang bertanggungjawab bagi meningkatkan prestasi jentera itu dan ternyata hasil serta kekemasan yang dijelmakan melalui Supra Oren terbabit membuka mata ramai peminat jentera JDM.

Antara yang diubahsuai adalah menukar omboh 87mm Carillo, pam minyak Walbro, gegalas ACL, pemancit 1,200cc Clinic, ekstraktor Tonka, Tial 48mm Wastegate, Turbo Comp dan banyak lagi.

Kalau mahu perinci satu persatu, rasanya tidak habis sehari menceritakan keistimewaan enjin jentera ini.

Bagaimanapun, sistem enjin dikawal sepenuhnya oleh Microtech LT16C, manakala keseimbangan jentera diperkuatkan dengan menggunakan Suspensi Tein.

Rupa luaran jentera memukau dengan warna Oren dan masih dilengkapi pelbagai komponen asal lain seperti lampu,bampar serta spoiler.

Gaya sporty jentera lebih menggoda dengan penggunaan Rim RG2 18x10jj, manakala bonet menggunakan materila gentian karbon yang siap ditebuk bagi menyalurkan haba panas enjin keluar melaluinnya.

Bagi ruang dalamannya, ia masih lagi kekal asli seperti dibelinya 18 tahun lalu.

;