Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Tempatan

Toyota Yaris Cross Ada Varian Baharu Menerusi Adventure, Tampil Lebih Lasak

Erywan 31/03/2021 | 01:22 MYT

Terasa seperti baru sahaja Toyota Yaris Cross dilancarkan ke pasaran global, namun model berkenaan sudah pun mempunyai varian baharu yang dikenali sebagai Adventure.

Seperti versi standard, Yaris Cross Adventure turut dibina di atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA) tetapi apa yang membezakannya adalah penampilannya yang lebih lasak yang sesuai dengan nama ‘Adventure’.
Bermula dengan bahagian luaran, model ini menampilkan bampar hadapan yang diberikan rekaan yang lebih ‘rugged’, berserta plat perlindungan pada bampar belakang. Selain itu, ia juga mendapat rel bumbung dan rim aloi berukuran 18 inci yang didatangkan dalam warna kelabu gelap.
Perubahan diteruskan ke ruang kabin di mana ia dihiasi dengan pelapik bumbung hitam, trim hitam piano pada papan pemuka, rekaan unik pada upholsteri tempat duduk serta jalur berwarna Deco Gold yang merentangi sepanjang panel instrumen dan pintu.
Mereka yang inginkan penampilan lebih menonjol boleh mendapatkan versi Premiere Edition yang didatangkan dengan ciri-ciri tambahan seperti upholsteri kulit, pintu ‘tailgate’ berkuasa dengan sensor kaki, paparan ‘head up’, pilihan warna dua tona serta rim aloi berukuran 18 inci, juga didatangkan dalam warna dua tona.
Untuk pasaran Eropah, semua varian Yaris Cross termasuk Adventure mempunyai trenkuasa hibrid dengan kuasa keseluruhan berjumlah 116hp yang dibekalkan oleh gabungan enjin kitaran Atkinson 1.5-liter dan sebuah motor elektrik. Kuasa disalurkan oleh kotak gear jenis CVT menerusi sistem pacuan semua roda E-Four.
Menurut Toyota, Yaris Cross Adventure akan dibuka untuk pra-tempahan pada suku kedua tahun ini, sebelum pelancarannya pada September.

#Toyota
;