Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Antarabangsa

Toyota Yaris Cross Lancar di Jepun, Tawar 2 Enjin Dengan 7 Varian

Erywan 02/09/2020 | 04:52 MYT

Selepas hampir empat bulan ia diperkenalkan di Eropah, kini tiba giliran Toyota Yaris Cross memasuki pasaran Jepun di mana ia boleh didapati dengan dua pilihan enjin dan tujuh varian kesemuanya.

Untuk versi petrol, Yaris Cross dikuasakan oleh enjin Dynamic Force (M15A-FKS) 1.5-liter tiga silinder yang menghasilkan 120PS pada 6,600 rpm dan 145Nm dari 4,800 hingga 5,200 rpm. Enjin itu dipadankan dengan transmisi Direct Shift-CVT, dengan pilihan pacuan roda hadapan atau empat roda (4WD).
Sementara itu, versi hibrid pula menampilkan gandingan enjin Dynamic Force (M15A-FXE) tiga silinder dan sebuah motor elektrik yang mampu menjana kuasa keseluruhan berjumlah 116PS. Secara berasingan, enjin terbabit mempunyai 91PS dan 120Nm, manakala motor elektrik tersebut mempunyai 80PS dan 141Nm.
Versi ini ditawarkan dalam versi pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda (E-Four). Menurut Toyota, kedua-dua versi 4WD dan E-Four dilengkapi dengan ciri Multi-Terrain Select yang membolehkan pemandu memilih antara tiga mod pemanduan berbeza bagi mendapatkan tahap cengkaman yang optimum.
Seperti Yaris, Yaris Cross dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (GA-B) yang mempunyai tahap ketegaran yang tinggi dan pusat graviti yang rendah. Walaupun begitu, rekaannya lebih menyerupai model crossover Toyota yang lain seperti RAV4 dan Corolla Cross berbanding hatchback tersebut.
Untuk pasaran Jepun, model ini boleh didapati dalam lapan warna dengan rim berukuran 16 hingga 18 inci. Di dalam, Toyota menggunakan material sentuhan lembut pada papan pemuka dan felt untuk panel pintu. Paparan multi-info LCD, paparan ‘head up’ serta sistem infotainmen yang merangkumi SmartDeviceLink, Apple CarPlay dan Android Auto turut disertakan.
Dari segi praktikaliti, Yaris Cross mempunyai ruang but berkapasiti 390 liter yang boleh memuatkan dua bagasi bersaiz 110 liter atau dua buah beg golf. Ia adalah SUV kompak Toyota pertama yang menggunakan konfigurasi 40/20/40 pada tempat duduk belakang dan 60/40 pada lantai but.
Sistem keselamatan Toyota Safety Sense disertakan secara standard pada semua varian kecuali X “B Package”. Ia terdiri daripada ciri-ciri seperti Pre-Collision Safety System, Low Speed Acceleration Control, Emergency Steering Assist, Full Speed Range Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist, Adaptive High-beam System, Road Sign Assist dan pelbagai lagi. Yaris Cross dijual pada harga bermula dari 1,798,000 (RM70,415) yen hingga 2,815,000 yen (RM110,245).

#Toyota
;