Antarabangsa
Triumph Rocket 3 R Dan Rocket 3 GT Lancar Di Malaysia, Guna enjin 2,500cc!
Triumph Motorcycles Malaysia melancarkan jentera dua roda enjin paling besar dalam keluarga jentera itu menerusi Rocket 3 R dan Rocket 3 GT.
Jentera itu menggunakan enjin bersesaran 2,500cc yang menyalurkan kuasa dan tork paling terbaik dalam segmen power cruiser.
Prestasinya kini sudah pun dipertingkatkan dengan pembaharuan pada pemasangan kotak engko, sistem pelinciran baru yang terdiri daripada tangki kering dan tangki minyak bersepadu dan aci pengimbang baru.
Ia mengurangkan berat enjin 18 kilogram (kg) berbanding generasi sebelumnya. Kini beratnya mencecah 294kg dan ia lebih ringan 40kg daripada sebelumnya.
Enjin Roket 3 R dan Roket 3 GT menyalurkan kuasa maksimum 167 PS pada 6,000 rpm, dan memberi kuasa yang lebih tinggi bermula rpm rendah pada 3,500 rpm.
Reka bentuk ekzos cukup ikonik bagi kedua-dua model berkenaan yang direka untuk penghalaan ekzos sempurna sekali gus memberi bunyi lebih mantap.
Tahap keselesaan tunggangan dipertingkatkan dengan penggunaan klac hidraulik 'tork assist' baru yang mana tuilnya lebih ringan.
Kuasa daripada enjin itu disalurkan juga ke kotak gear enam kelajuan baharu yang direka untuk memberi kelancaran, lebih kuat dan ringan daripada kotak gear standard, selain direka khusus untuk membolehkan peningkatan kapasiti tork bagi generasi baru motosikal itu.
Sama seperti semua rangkaian Triumphs lain, enjin Rocket 3 R dan Rocket 3 GT menggunakan pendikit ride-by-wire dan dilengkapi sistem penyejukan cecair untuk prestasi yang lebih baik.
Suspensinya pula dilengkapi dengan jenama Showa untuk bahagian hadapan dan belakang, manakala brek dipadankan kaliper Brembo Stylema.
Jentera itu juga dilengkapi ciri keselamatan termaju seperti Cornering ABS yang mengoptimumkan Kawalan Cengkaman Di Selekoh.
Selain itu, ia ditawarkan empat mod tunggangan membabitkan Road, Rain, Sport dan Rider-Configurable serta dilengkapi ciri Kawalan Hill Hold untuk mengelakkan motosikal tergelonsor ke belakang.
Ciri lain yang juga terdapat pada model itu membabitkan meter berwarna TFT, sistem penghidup tanpa kunci dan soket USB di bawah tempat duduk.
Ia juga didatangkan dengan pelbagai warna. Bagi Rocket 3 R, ia ditawarkan merah dan hitam, manakala Rocket 3 GT hadir Perak serta Kelabu dengan kombinasi warna kemasan merah atau hitam.
Sementara itu, Triumph Motorcycles Malaysia menawarkan Rocket 3 TFC ((Triumph Factory Custom) yang hanya dikeluarkan dalam jumlah terhad iaitu 750 unit di seluruh dunia.
Ia lebih berkuasa 15PS berbanding enjin yang digunakan pada varian Rocket 3 R dan GT, menjadikan ia motosikal paling berkuasa keluarga Triumph setakat ini.
Perbezaan lain pada model itu boleh dilihat dengan lencana keemasan, lampu hadapan LED berkembar, padanan komponen gentian karbon, penutup drive shaft, penghadang angin dan pelindung kaki.
Ciri lain membabitkan pemantauan tekanan tayar, kawalan jelajah, serta sistem kawalan integrasi GoPro. Ia boleh disambung dan dikawal, ia juga akan dipaparkan pada instrumen TFT.
Harga jualan tanpa cukai jalan dan insurans
- Rocket 3 R - RM130,900
- Rocket 3 GT - RM136,900