Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Modifikasi

Triumph Thunder Bird 650 - Dulu barai, kini dah sempurna

Erywan 08/11/2019 | 03:30 MYT

Minat yang mendalam pada jentera vintaj British membuatkan seorang lelaki sanggup menukar motosikal kesayangannya dan menambah sejumlah wang bagi mendapatkan Triumph Thunder Bird 650, biarpun dalam keadaan ‘barai'.

Ahmad Shukri Yahya, 53, dari Perak, berkata dia sememangnya sudah lama mencari motosikal itu, namun gagal sehinggalah tahun 2009 apabila menemuinya dari rakan di Kedah.
Bagi sesetengah orang mungkin tidak sanggup lagi untuk menjelmakan semula motosikal itu kerana ia boleh dikatakan ibarat besi buruk yang dikerat, disimpan dalam guni dan hanya menanti masa untuk dijual.
Biarpun dalam keadaan yang boleh dikatakan seperti watak Ali Baba yang dipotong-potong dalam filem P Ramlee, namun Ahmad Syukri sanggup mengambil risiko dan menukarkan motosikal vintaj miliknya Norton Slimline 500 yang berfungsi cemerlang serta turut menambah sejumlah wang kepada pemilik asal.
Pada awalnya dikatakan pemilik enggan menerimanya kerana bimbang jentera itu tidak berfungsi, namun melihat kesungguhan Ahmad Syukri yang bersungguh-sungguh mahukan motosikal itu, akhirnya pemilik asal bersetuju.
Sejurus memilikinya kerja-kerja restorasi segera dilakukan termasuklah proses cat dan kemasan krom pada komponen asal. Komponen dalaman enjin boleh dikatakan semua ditukar baru dan proses restorasi mengambil masa hampir setahun sebelum berjaya disiapkan.
Ini kerana banyak komponen yang ditukar banyak diimport dari luar negara dan tempoh waktu untuk menanti barangan itu dihantar ke Malaysia juga memakan masa lama serta kos penghantaran yang tinggi.
Sejurus berjaya dihidupkan dan diperkemaskan semula, ternyata ia menarik minat ramai untuk memilikinya.
Ada yang menawarkan wang tunai melebihi RM30,000 ada yang mahu menukarkan dengan motor vintaj lain. Namun, pelawaan itu ditolak kerana nilai sentimentalnya yang ada pada jentera itu tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.
Ahmad Syukri yang juga Presiden Perak British Classic Motorcycle Club (PBCMC) kini boleh berbangga kerana di Malaysia, tidak ramai yang memiliki 'harta karun' bernilai itu.

;