Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Tempatan

Volkswagen Polo Facelift - Lampu Hadapan LED, Infotainmen Naik Taraf Dan Banyak Lagi

Erywan 23/04/2021 | 06:25 MYT

Sejak dilancarkan empat tahun lalu, Volkswagen Polo generasi keenam boleh dikatakan agak tenggelam, terutamanya jika dibandingkan dengan ‘abangnya’ iaitu Golf. Dalam usahanya untuk menaikkan kembali nama model ini, Volkswagen memperkenalkan versi facelift dengan rekaan segar dan senarai kelengkapan standard yang lebih banyak.

Dibina di atas platform MQB A0, Polo facelift tampil dengan rekaan lampu hadapan LED yang lebih moden, dan bar lampu nyalaan siang panjang yang bertemu di logo VW di tengah-tengah jeriji.

Perubahan pada bahagian belakang dilihat lebih signifikan, dengan Polo kini mendapat lampu mendatar yang tidak jauh berbeza dengan lampu Golf Mk8. Seperti model-model Volkswagen yang lain, nama model terpampang pada bahagian tengah tailgate, di bawah logo jenama itu.

Sebagai varian lebih sporty, Polo R-Line tampil dengan lampu LED Matrix IQ.Light, muncung ekzos berkembar, rim aloi Valencia berukuran 16 inci serta logo ‘R’ pada jeriji dan dapra hadapan. Varian-varian lain didatangkan dengan rim 15 inci.

Masuk ke ruang kabin, Volkswagen telah menaik taraf sistem infotainmen dan skrin sentuh paling besar yang ditawarkan secara opsyen adalah berukuran 9.2 inci. Panel instrumen digital kini didatangkan secara standard dalam ukuran lapan atau 10.25 inci, bergantung pada varian.

Satu lagi ciri baharu adalah panel sentuh untuk kawalan sistem pendingin hawa seperti yang terdapat pada Tiguan dan Arteon.

Polo didatangkan dengan beberapa pilihan enjin, bermula dengan enjin aspirasi natural 1.0-liter dengan 80hp dan 93Nm, dan enjin 1.0 TSI dalam versi 95hp dan 110hp. Bergantung pada pasaran, model ini juga boleh didapati dengan enjin gas asli termampat 1.0 TGI yang menghasilkan 90hp dan 160Nm.

;