Volkswagen T-Roc Cabriolet - Crossover convertible pertama Volkswagen
Kira-kira dua tahun selepas memperkenalkan T-Roc, Volkswagen mengambil keputusan untuk mengembangkan barisan crossover kompaknya dengan versi ‘convertible’ yang dikenali sebagai T-Roc Cabriolet.
Berasaskan platform MQB yang turut digunakan oleh Golf, T-Roc Cabriolet menawarkan pengalaman pemanduan unik dengan posisi tempat duduk yang tinggi dan bumbung terbuka.
Model ini akan membuat kemunculan sulung di acara Frankfurt Motor Show 2019 pada bulan hadapan, sebelum memasuki pasaran Eropah bermula suku pertama tahun 2020.
Bagi memastikan keselamatan penumpang sentiasa terjamin, T-Roc Cabriolet dilengkapi dengan sistem perlindungan ‘roll-over’ yang akan diaktifkan sebaik sahaja ia melepasi darjah kecondongan yang telah ditetapkan.
Dari segi kelengkapan, Volkswagen menawarkan varian Style dan R-Line. Pakej Style merangkumi empat tema bahagian dalaman dengan pencahayaan ambien, manakala pakej R-Line menjadikan model ini lebih sporty dengan sistem stereng progresif, lampu kabus, suspensi lebih rendah, tempat duduk sport dan lencana ‘R-Line’.
T-Roc Cabriolet akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin petrol iaitu 1.0 liter tiga silinder yang menjana 115PS dan 1.5-liter empat silinder dengan 150PS. Kedua-dua varian didatangkan standard dengan transmisi manual enam kelajuan tetapi pelanggan yang memilih varian 1.5 liter boleh memilih transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan.