Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Tempatan

Volvo S90 Recharge T8 Versi Kemas Kini Diperkenalkan, Harga Bermula RM358,888

Erywan 22/04/2021 | 08:43 MYT

Volvo Car Malaysia memperkenalkan Volvo S90 Recharge T8 yang dikemas kini pada luaran, dalaman baharu serta dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan dan teknologi terkini.

Volvo S90 yang berwajah baharu ini, menampilkan ciri kemewahan, keselamatan dan kelestarian bagi memberikan pengalaman pemanduan yang unggul.
Rekaan model ini mirip kepada model XC90 apabila S90 Recharge T8 menggunakan warisan Volvo Cars yang kaya dengan ciri elegan terutamanya dalam reka bentuk Volvo.
Gabungan reka bentuk minimalis dan corak gaya ini menghasilkan imej premium yang diserlahkan oleh ciri estetik utama Volvo. Ciri berkenaan termasuk rekaan lampu utama LED gaya “Tukul Thor”, gril menegak krom dengan Volvo Iron Mark dan penggunaan rekaan kemasan Volvo yang menonjol pada bahagian belakang.
Lampu belakang Volvo S90 Recharge T8 juga dikemaskini dengan rekaan mirip kepada model Volvo S60 T8 R-Design yang dilancarkan baru-baru ini. Semua ciri ini digabungkan dengan elemen kemewahan dan sedikit ciri sporty.
Panel Sensus pada Volvo S90 Recharge T8 memastikan pemandu kekal berhubung dengan teknologi dan kemudahan yang bersifat peribadi. Ia menampilkan dua socket USB di bahagian hadapan bagi sambungan kepada Apple Carplay dan Android Auto.
Skrin sesentuh berbentuk potrait 9-inci pula membolehkan akses mudah dan pantas kepada semua menu ciri keselamatan dan aplikasi hiburan-dalaman kereta. Ini akan memberikan pengalaman audio dan media yang mengasyikkan.
Model S90 Recharge T8 turut memperkenalkan sistem bunyi Bowers & Wilkins yang dinaik taraf sepenuhnya dengan 19 pembesar suara dengan kekuatan bunyi dihasilkan sebanyak 1,400W.
Sistem pembesar suara yang terdapat di dalam model S90 Recharge T8 juga dilengkapi dengan teknologi Nautilus™ yang eksklusif dan memberikan pengalaman bunyi jelas serta pengalaman mendengar yang hebat.
Sebagai tambahan, S90 Recharge T8 tampil dengan pelbagai ciri keselamatan standard Volvo bermula dengan casis yang diperbuat daripada besi boron yang mengukuhkan badan kereta berkenaan.
Ciri itu digabungkan dengan sistem Intellisafe Volvo membabitkan teknologi keselamatan terkini yang dibangunkan oleh Volvo seperti Blind Spot Information Systems (BLIS), City Safety, Cross Traffic Alert, Front and Rear Warning and Mitigation Support, Lane Keeping Aid, Pilot Assist, had kelajuan 180km/j dan banyak lagi.
Model sedan premium yang mengggunakan platform Scalable Product Architecture (SPA) itu dikuasakan oleh Volvo’s Drive-E powertrain. Ia dilengkapi enjin T8 dan bateri boleh cas semula jenis lithium-ion yang berupaya menghasilkan 407 Kuasa kuda dan 640Nm Tork.
Volvo S90 Recharge T8 dijual pada harga RM358,888, kini ditawarkan pada harga RM339,315 selepas pengecualian cukai jualan (atas-jalanraya tanpa insurans) dan kini boleh didapati di semua wakil sah pengedar Volvo seluruh negara.
Lima pilihan warna ditawarkan kepada pelanggan iaitu Bright Silver, Crystal White Pearl, Onyx Black, Platinum Grey dan Thunder Grey.

;