VPCM anjur himpunan Volkswagen Beetle terbesar di Malaysia
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) bakal menganjurkan acara Beetle, An Iconic Gathering dengan mengumpulkan semua pemilik Beetle di tempat parkir terbuka di Istana Kehakiman, Putrajaya pada 13 Julai ini.
Volkswagen akan cuba untuk memecahkan rekod sedia ada perhimpunan Beetle terbesar di Malaysia. Jadi, ia menjemput semua pemilik model klasik dan Beetle terkini untuk turut sama merealisasikan usaha tersebut.
Sambutan itu akan dimulakan dengan konvoi Beetle Sunshine Tour sebanyak 100 Beetle dan dilepaskan di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.
Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata, Volkswagen akan menamatkan pengeluaran produksi Beetle pada tahun ini.
“Kami mahu memberikan ucapan selamat jalan kepada model terlaris ini dengan meraikan warisannya. Justeru, kami ingin menjemput pemilik dan peminat Beetle untuk sama-sama berkumpul, sekali gus memecahkan rekod dan meraikan Bug kegemaran dunia ini.
Acara Beetle: An Iconic Gathering dibuka kepada semua pemilik Beetle. Mereka yang berminat boleh mendaftar di laman sesawang Volkswagen.
Penyertaan adalah percuma dan perincian acara akan diberikan ketika pendaftaran dalam talian dibuat. Semua peserta juga akan menerima sijil penyertaan daripada Volkswagen.