Tempatan
Yamaha Dedah Monster Energy MotoGP 2021
Pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP (2021) rasmi mendedahkan barisan pelumbanya secara virtual yang kini diperkuatkan lagi oleh Fabio Quartararo bersama Maverick Vinales menggunakan model Yamaha YZR-M1 (2021).
Bos Yamaha, Lin Jarvis berkata kehadiran bintang muda seperti Fabio Quartararo menjadi petanda adanya satu perubahan generasi Yamaha.
Jarvis menjelaskan Yamaha memiliki banyak kepercayaan kepada Quartararo walaupun masih muda dia memiliki pengalaman yang sangat baik ketika dua tahun bersama Pasukan SRT Yamaha. Sedangkan Maverick Vinales yang agak tidak konsisten ketika menunggang Yamaha M1 (2020) perlu mengatasinya pada musim ini.
Beliau yakin pelumba seperti Vinales apabila mendapatkan jentera yang konsisten, dia boleh menjadi pelumba yang sukar dikalahkan. Ini kerana bos Yamaha itu sudah berulang kali menyampaikan kepada Yamaha Motor Corporation di Iwata, Jepun untuk meningkatkan motosikal dengan pakej yang dapat memberikan kelajuan tinggi buat kedua-dua pelumba. Seperti yang kita tahu, Yamaha berdepan dengan masalah pecutan laju di laluan lurus.
Ketua Projek MotoGP Yamaha, Takahiro Sumi menjelaskan beberapa perkara yang dilakukan oleh Yamaha menjelang musim 2021.
"Ada banyak elemen yang boleh dibangunkan, jadi Yamaha mahu terus meningkatkan prestasi di bahagian lain misalnya aerodinamik," katanya.
Di samping itu, grafik yang disematkan pada Yamaha M1 (2021) tidak banyak perubahan berbanding versi 2020 dengan warna badan hitam bersama kemasan biru.