Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Antarabangsa

Yamaha NMAX Generasi Baharu, Harga Bermula RM8,998

Erywan 01/12/2020 | 12:46 MYT

Hong Leong Yamaha Motor memperkenalkan skuter generasi baharu menerusi NMAX. Jentera baharu dengan slogan Lincah dan Mempesona itu hadir dengan ciri elegan serta menawarkan gaya tunggangan yang selesa.

Skuter automatik itu kini hadir dengan lampu LED enam mentol yang mana empat daripadanya adalah untuk lampu rendah dan selebihnya untuk lampu tinggi.
Model baharu itu juga hadir dengan panel meter LCD dan butang pada bahagian kiri hendal memudahkan penggunanya untuk mendapat pelbagai informasi. Pada bahagian belakangnya pula, lampu yang digunakan juga adalah LED dengan mempunyai rekaan tiga dimensi.
Rangkaian kuasa, ia dipadankan enjin empat lejang SOHC 155cc dengan cecair penyejuk Blue Core serta digabungkan kotak gear CVT. Untuk tunggangan lebih jauh, tangki bahan api yang berada ditengah-tengah skuter itu mempunyai kapasiti 7.1 liter. Jadi ia boleh mengurangkan kekerapan untuk mengisi minyak bagi perjalanan jauh.
Ia juga didatangkan dengan Starter Generator Control Unit untuk menghidup enjin lebih senyap, selain dilengkapi soket elektrik 12V untuk memudahkan penunggang mengecas telefon bimbit pada bila-bila masa.
Bagi mengurangkan penggunaan bahan api, NMAX itu dilengkapi dengan sistem Stop & Start yang mana enjinnya dimatikan ketika skuter tidak bergerak seperti berhenti di lampu isyarat. Jika tidak mahu menggunakannya, ia juga boleh tidak diaktif dengan menekan butang.
Sebagai tambahan untuk memberi tambah nilai skuter itu, tempat kakinya lebih lebar untuk memberi keselesaan tunggangan, ruang penyimpan di bawah pelana mencecah 23.3 liter yang boleh memuatkan topi keledar penutup penuh bersaiz XL.
Kini skuter berkenaan sudah ada di pengedar Yamaha yang sah. Yamaha NMAX itu dijual pada harga RM8,998 tidak termasuk insuran dan yuran pendaftaran. Warnanya pula, ia ditawarkan dua pilihan warna iaitu kelabu dan merah kusam.

#Yamaha
;