Gabungan kedua-dua artis ini antara yang dinantikan. Kolaborasi ini akhirnya menjadi kenyataan apabila 'Obvious' sudah pun menemui peminat pada 26 Oktober lalu.

'Obvious' merupakan sebuah lagu berbahasa Inggeris yang mempamerkan kebolehan bakat dan kerjasama dua sabahat karib ini.

Diterbitkan dan ditulis bersama oleh Alif dan SonaOne, Obvious menerima adunan bertaraf dunia sentuhan dari Jimmy Cash di Cha Ching Studios North Hollywood, California dan telah di ‘master’ oleh calon Anugerah Grammy, Chris Athens di Chris Athens Masters Austin, Texas.

Lagu ini diinspirasikan untuk memperkasakan semua yang mendengarnya. Menurut Alif, "kami mulanya menulis lagu ini sebagai satu penghormatan kepada keyakinan diri seorang wanita. Semakin kami mendalami subjek ini kami sedar bahawa mesej yang terkandung di dalamnya lebih besar dan boleh dikaitkan dengan semua orang.

"Kadangkala, manusia terlalu ambil kisah apa yang orang fikirkan tentang mereka dan mereka lupa apa yang ada di hadapan mata mereka, atau tidak sedar tentang perkara-perkara kecil berkenaan diri mereka yang sebenarnya sangat ketara atau ‘Obvious’ di mata orang lain", Jelas SonaOne ketika ditemui.

Dalam ‘Obvious’, Alif dan SonaOne membawa mesej yang amat positif dalam suasana kita yang penuh cabaran. Mendapat sentuhan Nasri Lian selaku pengarah video muzik, ia telah mendapat sebanyak 230,000 tontonan setelah lima hari disiarkan.