Faizal Tahir, Aizat Amdan, Noh Salleh, Mizz Nina dan Mu’adz Dzulkefly, lima selebriti tempatan yang bergabung secara sukarela bagi menjayakan konsert amal mengumpul dana membantu rakyat Syria dan Jordan di kem-kem pelarian.
Siri Pertama Konsert Kemanusiaan #1Moment4Them yang diadakan di Universiti Yarmouk, Jordan telah meraih kutipan tabung hampir RM70,000. Siri kedua konsert One Moment For Them 2.0 Egypt yang diadakan pada 29 April 2016 telah berjaya mengutip dana berjumlah RM91,908.05. Projek ini digerakkan oleh pelajar-pelajar Malaysia di sana dengan bantuan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Pengalaman mereka menjejaki bumi Jordan untuk meluangkan masa dengan anak-anak di sana telah mencetuskan ilham untuk menghasilkan lagu "Kullul Hubbi Minna Lahum" (Seluruh Cinta Kami Hanya Untuk Mereka). Lagu ini telah dinyanyikan pada konsert pertama di Jordan.
Kesungguhan golongan selebriti memainkan peranan dalam mendidik dan menyebarkan kesedaran kepada masyarakat melalui populariti dan muzik serta menggunakan elemen yang sama bagi menyuntik kekuatan dan merapatkan diri dengan anak-anak pelarian Syria terutamanya harus dijadikan ikutan.
Kesemua hasil kutipan ini akan disalurkan bagi membantu rakyat Syria dengan sumbangan keperluan asas kehidupan dan sebahagian yang lain digunakan bagi menyedia dan membiayai persekolahan anak-anak rakyat Syria. Untuk maklumat lanjut layari laman Facebook rasmi Fatiha Shuib and Friends.
Reaksi salah seorang anak pelarian yang menangis ketika mendengar lagu "Assalamualaikum" nyanyian Faizal Tahir.