UNDI TOP 5 GEMPAK MOST WANTED AWARDS SEKARANG!
Gegar Vaganza 11

Gegar Vaganza 11: Dadali Dyrga Dedah Masalah Penglihatan Selepas Nyanyi Lagu ‘Aduh Saliha’ - “Tapi Saya Tidak Menyalahkan….”

Asyraf Roslan 13/02/2025 | 05:55 MYT

Bintang Gegar Vaganza 11 (GV11), Dadali Dyrga, mendedahkan bahawa mata sebelah kanannya mengalami masalah penglihatan selepas mendendangkan lagu Aduh Saliha pada minggu keempat pertandingan.

Jelas Dyrga, selepas persembahan lagu tersebut, penglihatannya menjadi kabur, terutama apabila melihat dengan mata kanan.
Namun dia sanggup mengambil risiko untuk tidak mendapatkan rawatan lanjut kerana mahu memberi tumpuan kepada pertandingan pada ketika itu.
“Mata sebelah kanan saya tak nampak selepas membawakan lagu Aduh Saliha. Walaupun sehelok mana manusia dihadapan saya kalau melihat menggunakan mata kanan, ia tidak kelihatan jelas.
“Doktor cakap harus mendapatkan rawatan tapi saya tolak kerana rela makan ubat dan doktor juga menasihatkan saya untuk tidak terlalu tarik tinggi, mana mungkin pada ketika itu saya masih dalam pertandingan. Jadi saya buat keputusan untuk korbankan mata saya, tiada masalah.
“Yang penting saya akan berikan yang terbaik bila saya buat persembahan, dan selepas selesai ini baru saya buat rawatan” ujarnya.
Menceritakan keadaan penglihatannya kini, Dadali menggambarkan ia seperti kamera yang telah rosak, di mana satu mata melihat jauh dan satu lagi dekat, seolah-olah mengalami masalah juling.

Bagaimanapun, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya mengakui bahawa teknik nyanyiannya sendiri menjadi punca utama.

“Pandangan saya kini ibarat kamera dirosakkan, satu mata nampak jauh dan satu mata dekat macam juling. Tapi saya tak menyalahkan lagu Datuk M. Nasir saya yang salah teknik. Saya menyanyi dengan menggunakan head voice.
“Saya reda sahaja ketika kejadian, ini semua ketentuannya mungkin saya tak boleh lihat janda,” katanya berseloroh.
Dadali berjaya menduduki tempat keempat di pentas akhir GV dan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 berserta trofi.
Konsert akhir GV11 yang berlangsung pada Ahad menyaksikan Liza Aziz telah dinobatkan sebagai juara.
Manakala Ning Baizura diangkat sebagai Naib Juara dan tempat ketiga pula disandang oleh Sheila Abdull, manakala Dadali Dyrga (keempat), Zehra Zamri (kelima) dan The Lima (keenam).

Gegar Vaganza 11 yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Sherry Al-Hadad bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam selama 12 minggu.

Kesemua finalis diadili oleh juri tetap iaitu Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat dan Datuk Ramli M.S.

#GV11 #Gegar Vaganza 11 #Dadali Dyrga
;