Gegar Vaganza 11
Gegar Vaganza 11: Ronnie Hussien Tolak Dakwaan GV Memalukan Penyanyi - “Walaupun Sudah 30 Tahun Menyanyi, Masih Ada Banyak…”
Bintang Gegar Vaganza 11 (GV11), Ronnie Hussien, menolak dakwaan bahawa program GV memalukan penyanyi yang menyertainya.
Menurutnya, pentas GV adalah merupakan peluang kedua buat artis yang pernah mewarnai industri muzik untuk kembali mengukuhkan nama mereka.
“ Jika kita berfikiran positif, artis yang menyertai GV adalah mereka yang dipilih dan diberikan peluang untuk kembali menyerlah selepas lama menyepi.
“Pada mulanya, saya sendiri ragu-ragu, tetapi setelah melihat bagaimana peserta lain bersedia menghadapi cabaran, saya sedar GV sebenarnya menguji kemampuan kami. Ia juga memberi peluang kepada peserta untuk menyanyikan lagu di luar kebiasaan mereka,” jelasnya kepada Gempak.
Tambah Ronnie, program ini bukan sekadar pertandingan, tetapi turut memberi ilmu baharu kepada peserta, termasuk dirinya.
“GV membuka peluang untuk kami belajar daripada individu hebat seperti Tok Ram, Ibu Hetty, dan Tok Naz. Walaupun sudah 30 tahun menyanyi, masih ada banyak perkara yang belum kita pelajari.
“Saya sangat puas hati menyertai GV dan ingin mengucapkan tahniah kepada semua peserta, sama ada yang sudah tersingkir atau masih bertanding. Ini adalah persiapan untuk menghadapi dunia sebenar selepas GV,” katanya.
Ronnie ditemui media selepas selesai konsert separuh akhir Gegar Vaganza 11, baru-baru ini.
Sekadar info, perjalanan Ronnie terhenti selepas 11 minggu bersaing di pentas GV selepas gagal menambat hati juri dengan persembahannya yang menyanyikan lagu Impian Cinta dan Revolusi nyanyian asal Bunkface.
Terdahulu, penyanyi senior Man Bai menyatakan bahawa format pertandingan yang diketengahkan GV dilihat hanya memalukan dan menjatuhkan kredibiliti artis yang bertanding.