Gegar Vaganza 11

Gegar Vaganza 11: Sentiasa Terselamat, Fairuz Selamat Nafi Jadi Anak Emas - “Nama Bapa Saya Itu Memang Keramat”

Asyraf Roslan
20/01/2025
03:55 MYT
Sponsor Banner
Gegar Vaganza 11: Sentiasa Terselamat, Fairuz Selamat Nafi Jadi Anak Emas - “Nama Bapa Saya Itu Memang Keramat”
Bintang Gegar Vaganza 11 (GV11), Fairuz Selamat menafikan dakwaan netizen yang menyatakan bahawa dia adalah ‘Anak Emas’ GV hanya kerana diselamatkan daripada penyingkirang sebanyak dua kali.
Menurut Fairuz, jika benar dakwaan netizen itu dia tidak mungkin berada di tangga dua terbawah.
Bagaimanapun, Fairuz menganggap bahawa ini adalah rezeki daripada Allah yang memberinya keizinan untuk terus bertanding di GV.
“Ada dibawah sebanyak dua kali itu bukan anak emas.
“Pandangan saya, nama bapa saya itu memang keramat. Saya sudah buat yang terbaik setiap minggu. GV ia punya prespektifnya berbeza saya mungkin menilai suara saya tapi juri lihat dari aspek yang lebih kritikal.
“Bila berada di tangga terbawah saya tahu ada benda yang saya perlu belajar lagi, dan bila saya berada di bawah ini dan tiada penyingkiran itu mungkin Allah masih izinkan saya untuk bertanding,” jelasnya.
Pada masa sama, Fairuz turut meluahkan rasa sedih kerana bila berada di tangga dua terbawah dia merasakan dia sudah mengecewakan peminat-peminatnya yang tidak henti-henti memberi sokongan padu setiap minggu.
“Bila berada di bawah saya rasa kecewa sebab saya telah kecewakan peminat saya.
“Sebab bila mereka sokong mesti mereka mahukan artis mereka berada diatas, jadi kadang-kadang saya rasa mereka sokong artis yang salah ke?
“Cuma apa yang saya boleh katakan mereka selalu memberi kata semangat kepada saya, maka saya jadi rendah diri kerana saya takut saya tidak dapat memenuhi piawaian mereka yang menyokong,” katanya.
Sekadar info, Fairuz Selamat berada di tangga tiga terbawah bersama Sheila Abdull dan Ronnie Hussien selepas mendapat markah terendah pada minggu kesembilan.
Sebelum ini juga Fairuz pernah berada di kedudukan sama pada minggu ketujuh namun diumumkan tiada penyingkiran pada minggu tersebut.
Gegar Vaganza 11 yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Sherry Al-Hadad bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam selama 12 minggu.
Kesemua peserta yang masih kekal diadili oleh juri tetap iaitu Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat dan Datuk Ramli M.S.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024